Veteren tentera dibenar cabar kelewatan keputusan isu daftar parti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Isnin membenarkan permohonan lapan veteran tentera untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar kelewatan Menteri Dalam Negeri membuat keputusan berhubung rayuan mereka mendaftarkan Parti Kemakmuran Negara sebagai sebuah parti politik.

Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili kesemua pemohon, ketika dihubungi berkata Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan tersebut.

"Mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk pengurusan kes," katanya.

Brigidier Jeneral (B) Datuk Abdullah Mohamed, Komander (B) Yasin Hamzah, Kapten (B) Ab Manan Mansor, Abdull Rahim Hashim, Mejar (B) Kaha Othman, Sazali Ramli, Alias Abd Wahab dan Leftenan Kolonel (B) Jalil Ithnin memfailkan permohonan itu pada 7 Julai lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai responden.

Mereka memohon perintah mandamus untuk menteri membuat keputusan mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan terhadap keputusan RoS pada 16 Mac lepas yang menolak pendaftaran parti itu sebagai entiti politik dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah.

Mereka, yang merupakan penaja parti itu, memfailkan permohonan atas alasan antaranya kelewatan responden membuat keputusan berhubung rayuan pendaftaran parti tersebut adalah tidak munasabah serta melanggar hak berpersatuan dan bersuara pemohon mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Kesemua pemohon juga mendakwa kelewatan responden telah melanggar hak mengundi yang termaktub dalam Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama