Kedah belanja RM495 juta selenggara, naik taraf infrastruktur

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto Bernama
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM495 juta bagi melaksanakan sebanyak 2,964 projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di Kedah pada 2021 sehingga Jun 2022.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelbagai projek dilaksanakan memandangkan Kedah menjadikan kerja penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur sebagai keutamaan kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak RM261 juta dibelanjakan bagi menyelenggara dan menaik taraf 1,491 projek pada tahun 2021, manakala RM234 juta melibatkan 1,473 projek berkenaan sehingga Jun tahun ini.

“Pada tahun 2021, sebanyak 1,391 projek penyenggaraan infrastruktur jalan negeri dengan nilai keseluruhan berjumlah RM230 juta telah dilaksanakan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM59 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja menyenggara 621 jalan kampung di seluruh negeri.

“Antaranya kerja-kerja menyenggara Jalan Masjid Kuala Sungai Daun dan Jalan 'Crusher Run' di Kampung Batu 14, Simpang Sungai Limau, Yan; Jalan Kampung Pida 14 Baru, Kubang Pasu; jalan ban kanan Terusan Selatan dari Kampung Chegar ke Lubuk Ular, Pendang,” katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) yang bertanyakan jumlah projek naik taraf infra yang telah diluluskan kerajaan negeri Kedah bagi 2021 hingga Jun 2022 dan jumlah perbelanjaan dikeluarkan.

Tambah Muhammad Sanusi, sebanyak RM116 juta atau 593 projek telah disiapkan pada tahun lalu bagi kerja penyenggaraan jalan negeri di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Antara projek penyenggaraan jalan negeri yang telah disiapkan termasuk kerja-kerja pembaikan cerun di Kampung Perigi di Jalan Yan kechil, Yan; kerja mengganti longkang sedia ada yang telah rosak di Jalan Bukit Hantu, Langkawi serta kerja menyenggara dan menurap semula jalan di Jalan Sik/Weng, Sik,” katanya.

Beliau memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula telah diberi tanggungjawab menyelaras dan melaksanakan projek penyenggaraan jalan perbandaran dan jalan pertanian melibatkan sebanyak 177 projek dengan nilai berjumlah RM54 juta pada tahun lepas.

Katanya, projek dilaksanakan JPS termasuk kerja penyelenggaraan jalan pertanian Jalan Ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kampung Berjaya/Sungai Serdang, Bandar Baharu; Jalan Taman Perumahan Pantai Murni, Yan; jalan di Kawasan Perindustrian Bandar Darulaman dan penyenggaraan longkang di Taman Mahsuri Fasa 2D di Kubang Pasu.

“Bagi projek naik taraf infrastruktur, sebanyak RM31 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan 100 projek menaik taraf infrastruktur di Kedah dengan projek terbesar termasuk projek menaik taraf loji rawatan air (LRA) dan projek pembesaran Jalan Suka Menanti, Alor Setar.

“Selain itu, projek menaik taraf yang telah dilaksanakan di peringkat daerah dan telah disiapkan seperti jalan Ibu Bekalan di Kampung Kunluang, Kubang Pasu; jalan Kampung Pulau Jering di Skim Pengairan Bukit Sena, Padang Terap sehinggalah kerja membina semula jambatan di Kampung Batu Puteh di Kulim,” katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, sejumlah RM214 juta atau sebanyak 1,415 projek telah diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan negeri bagi tahun ini pula sehingga Jun 2022.

“Daripada jumlah ini sebanyak 604 projek bernilai RM60 juta telah dibelanjakan bagi menyenggara 604 jalan kampung, sebanyak RM102 juta bagi menyenggara 320 jalan raya negeri di bawah JKR dan sejumlah RM51,577,652 bagi menyenggara jalan perbandaran dan jalan pertanian di bawah kawalan JPS dengan bilangan 491 projek.

“Antara 25 projek penyenggaraan jalan yang telah diluluskan setakat Jun 2022 adalah menyelenggara Jalan Kampung Pulau Tuba Dan Kampung Rangkaian,Langkawi; Jalan Kampung Pida 3 Padang Kelang dan Jalan Kampung Pida 8 Siam, Kubang Pasu; Jalan di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan,” katanya.

Beliau memaklumkan, sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan 58 projek menaiktaraf infrastruktur termasuk projek menaik taraf lima LRA di Kedah dalam tempoh sama.

Menurutnya, antara projek menaik taraf infra yang telah dilaksanakan termasuk menaik taraf jambatan di Kampung Perupok, Padang Terap, menaik taraf jambatan di Kampung Merbok, Kuala Muda dan kerja menaik taraf jalan di Kampung Parit Panjang, Baling.

“Selain itu, kerja menaik taraf saliran Carok Lubok Labi di Padang Terap; kerja naik taraf tali air di Kampung Telok Binu di Skim Pengairan Sidam Kanan, Kulim; membina titi di Kampung Padang Che Mas, Baling dan kerja-kerja membina semula titi konkrit di Kampung Titi Akar, Pendang,” katanya.