Pulau Tioman wajib dikunjungi penggemar pendakian

Terdapat tiga buah gunung di Pulau Tioman yang masih belum diteroka oleh pendaki. Gambar kecil: Edros
Terdapat tiga buah gunung di Pulau Tioman yang masih belum diteroka oleh pendaki. Gambar kecil: Edros
A
A
A

KUANTAN – Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) mahu menjadikan Pulau Tioman sebagai salah satu destinasi di Pahang yang wajib dikunjungi oleh penggemar aktiviti pendakian.

Pengarah Besar TDA, Datuk Edros Yahya berkata, perkara berkenaan antara usaha yang sedang dilakukan bagi meningkatkan produk pelancongan di Pulau Tioman selain daripada aktiviti air dan dasar laut.

Menurutnya, sebanyak 80 peratus kawasan Pulau Tioman adalah hutan dan terdapat tiga buah gunung di pulau itu yang belum diteroka oleh pendaki iaitu Gunung Semukut, Gunung Seperuk dan Gunung Sipuchung.

“Jadi, kita lihat kawasan ini (hutan dan gunung) ada potensi untuk diperkenalkan kepada rakyat Malaysia dan juga pelancong luar untuk datang ke Pulau Tioman.

“Mereka bukan sahaja boleh melakukan aktiviti skuba tetapi boleh juga menerokai hutan dan gunung yang penuh misteri selain melihat keindahan flora fauna di kawasan terbabit.

“Kita yakin dengan ada pakej pelancongan yang lengkap ini, ia dapat meningkatkan jumlah pelancongan untuk bermalam di Pulau Tioman melebihi tiga malam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau menjelaskan, bagi tujuan itu, TDA melancarkan program pendakian Hiking In Tioman (HIT) pada 26 hingga 28 Ogos depan bagi membersihkan trek laluan pendakian dan penandaan kawasan di Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut yang bakal menjadi laluan Trans Semukut menerusi pintu Dragon Horns.

Katanya, program itu kerjasama Kelab Perkhemahan Pendakian dan Pengembaraan Pahang (KCHAT Club).

“KCHAT Club bertanggungjawab menghimpunkan wakil-wakil kumpulan pendaki yang lain bagi kerja-kerja pembersihan trek laluan dan penandaan kawasan, selain melancarkan Trans Semukut membabitkan laluan ketiga-tiga gunung di Kampung Mukut,” ujarnya.

Edros menyasarkan seramai 100 sukarelawan dalam kalangan peminat aktiviti luar perkhemahan dan pendakian untuk memenuhi undangan berkenaan.

Katanya, ia dalam usaha mewujudkan kesedaran umum tentang kemaslahatan alam sekitar, khususnya destinasi perkhemahan dan pendakian.