Kutip RM4.74 juta bantu penuntut UTM kurang mampu

Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan pelancaran tiga buah buku untuk jualan serta manfaat umum dalam Majlis Santapan Diraja UTM di Persada Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan pelancaran tiga buah buku untuk jualan serta manfaat umum dalam Majlis Santapan Diraja UTM di Persada Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah RM4.74 juta berjaya dikutip menerusi program Majlis Santapan DiRaja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2022 dan akan disalurkan kepada tabung kebajikan untuk penuntut UTM yang tidak berkemampuan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Fauzi Ismail berkata, dana yang dikumpulkan itu akan disalurkan kepada Tabung Endowmen, Wakaf Pendidikan dan 'Because We Care Chancellor's Fund'.

"Sumbangan tersebut akan digunakan untuk biayai pengajian penuntut UTM, khasnya mereka daripada kelompok B40.

"Golongan ini memerlukan pembelaan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, selain aktiviti penyelidikan dan akademik yang memerlukan pembiayaan demi menjana kecemerlangan UTM di persada dunia, khasnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

"Sejumlah RM4.74 juta ini dikumpul melalui penjualan meja, penajaan serta sumbangan daripada syarikat korporat, industri, alumni UTM, staf serta penuntut dan individu," katanya dalam program di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini pada Ahad.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan isteri Pemangku Raja Johor, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyempurnakan pelancaran tiga buku bertajuk 'Menelusuri Lima Dekad Pembangunan UTM', 'Kepimpinan Berwawasan Universiti Sanjungan Bangsa' dan 'Penyelidik Berimpak, Mensejahterakan Masyarakat' untuk jualan serta manfaat umum.

Permaisuri Johor juga berkenan menyempurnakan pelancaran usaha program Serambi Al-Quds yang bertujuan mengumpul dana bagi menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin yang cemerlang untuk menyambung pengajian Doktor Falsafah di UTM.