Rafizi minta ahli PKR sanggah, lapor polis terhadap Najib

Rafizi ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di IDCC pada Ahad. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rafizi ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di IDCC pada Ahad. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menetapkan beberapa tugas yang perlu dipikul ahli parti dalam tempoh terdekat antaranya menyanggah kenyataan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai permulaan, Rafizi yang baharu sahaja dilantik ke jawatan itu pada pemilihan lalu meminta semua perwakilan di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib ekoran Ahli Parlimen Pekan itu didakwa memainkan isu perkauman dan meracuni pemikiran rakyat.

"Dari saat ini, kita sudah tak banyak masa. Ada banyak tugas berat untuk dipikul dan yang pertama (adalah) sanggah UMNO.

"Kita tidak boleh biarkan Najib bermaharajelela dan sebab tugas pertama semua sejurus balik dari kongres ini sanggah propaganda Najib hingga hantar dia ke penjara.

"Jangan duduk diam, buat laporan polis sebab saya tahu Najib seorang penakut. Selasa ini saya minta pimpinan semua peringkat untuk sama-sama buat laporan kepada polis di seluruh negara. Kita tak boleh biar dia (Najib) main isu perkauman, meracuni rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional PKR ke-16 pada Ahad.

Dalam pada itu Rafizi menegaskan, tindakan membuat laporan polis tidak akan terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya akan akan terus diambil setiap kali bekas Perdana Menteri itu menyatakan pembohongan.

"Setiap kali Najib berbohong jangan duduk diam, kita akan buat laporan polis demi laporan polis. Dia sembang kencang sebab dia tahu orang tak lawan.

Artikel Berkaitan:

"Lepas ini, Najib akan jawab semua (laporan) macam dia jawab dalam 'court' (mahkamah) iaitu ‘saya tak tahu’ sahaja," katanya.