Banjir: 40 kampung diminta waspada

Salah satu projek RTB berskala besar di sempadan Kesang-Muar
yang hampir siap dijangka turut berupaya mengurangkan masalah banjir di Tangkak, Muar dan Segamat
Salah satu projek RTB berskala besar di sempadan Kesang-Muar yang hampir siap dijangka turut berupaya mengurangkan masalah banjir di Tangkak, Muar dan Segamat
A
A
A

TANGKAK - Sebanyak 40 kampung di enam mukim dalam daerah ini diminta berjaga-jaga sepanjang musim tengkujuh berikutan risiko berlaku banjir.

Pegawai Daerah, Mahadon Marnin berkata, setakat ini, enam mukim yang diletakkan di bawah pemerhatian agensi berkaitan adalah mukim Grisek, Serom, Bukit Serampang, Tangkak, Kundang dan Kesang.

Katanya, kesemua kampung terlibat perlu bersedia berikutan dikenal pasti sebagai lokasi utama bencana banjir pada setiap tahun.

“Bagaimanapun, kita jangkakan keadaan banjir yang berlaku mungkin tidak begitu teruk seperti tahun sebelum ini kerana beberapa projek pelebaran dan pelurusan sungai siap dijangka memberi manfaat kepada penduduk kampung terlibat.

“Selain itu, projek mega iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kesang yang telah memasuki fasa keempat juga bakal memberikan faedah kepada kampung di Seri Maamor, Pengkalan Besar, Paya Kepong, Parit Timen, Parit Dahlan, Seberang Gajah, Tanjung Labuh dan Sialang Dalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mahadon, projek menaik taraf parit di Kampung Paya Pupuk yang telah selesai juga akan mengurangkan risiko banjir besar di kawasan itu.

Bagaimanapun, tambah beliau, meskipun keadaan banjir diramalkan tidak teruk seperti dulu, namun penduduk terlibat perlu bersedia khususnya di sepanjang musim tengkujuh ini kerana bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, ketika ini, semua agensi dan jabatan daerah terlibat telah membuat persediaan masing-masing bagi memastikan kelancaran gerak kerja sekiranya kejadian itu berlaku.

“Minggu lalu, semua jawatankuasa bencana peringkat daerah yang terlibat seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pelbagai lagi agensi telah bermesyuarat bersama kami.

Artikel Berkaitan:

“Agensi-agensi berkenaan turut membentangkan perancangan masing-masing dan kesemuanya kini berada dalam mud ‘standby’,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bacaan paras air serta kampung yang berpotensi dilanda banjir ini juga sentiasa dijalankan.