Penguatkuasaan ketat pastikan aktiviti penyeludup lumpuh

ATM mengenal pasti 30 titik panas di sempadan yang menjadi tumpuan penyeludup membawa keluar barang kawalan negara. - Foto fail Bernama
ATM mengenal pasti 30 titik panas di sempadan yang menjadi tumpuan penyeludup membawa keluar barang kawalan negara. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tegas ditagih bagi memastikan aktiviti penyeludupan melalui pangkalan haram yang wujud di sempadan Malaysia-Thailand dapat dibanteras sepenuhnya.

Terbaharu, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diketuai Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan Cawangan Khas untuk memburu kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak masak peket bersubsidi.

Menurut beliau, sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan berkenaan perlu diburu kerana mereka telah melarikan subsidi negara yang dianggarkan berjumlah RM4 bilion menerusi kegiatan penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran.

Jelas Annuar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengenal pasti terdapat 30 titik panas di sempadan yang menjadi tumpuan para penyeludup untuk membawa keluar subsidi negara.

Sinar Harian turut membongkar penyeludupan minyak masak bersubsidi dari Malaysia yang dikesan dijual secara berleluasa tanpa kawalan di sekitar pekan Sungai Golok di sini.

Siasatan wartawan Sinar Harian baru-baru ini mendedahkan bukan sahaja minyak masak peket bersubsidi seberat satu kilogram (kg), malah minyak masak botol seberat lima dan 10kg turut dijual dan boleh didapati dengan begitu mudah tanpa sebarang had pembelian.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan telah merampas minyak masak peket bersubsidi bernilai RM1.5 juta yang cuba diseludup ke negara jiran di empat negeri dalam tempoh Januari hingga 4 Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, nilai rampasan itu membabitkan 61 kes di Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Malah, KPDNHEP turut mengesan modus operandi penjualan minyak masak dalam talian melalui platform e-dagang terkenal selepas berjaya merampas 255 kilogram (kg) minyak masak pek polibeg bersubsidi di sebuah premis di Petaling Jaya dalam serbuan awal bulan ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak peket 1kg ditemui dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran.

Jelas Azman, tindakan diambil mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 akta yang sama.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sukar untuk pihaknya menentukan pangkalan haram yang paling panas dalam kalangan penyeludup.

Menurutnya, penyeludup sentiasa bertukar-tukar lokasi pangkalan haram.

Ini kerana jelasnya, apabila lokasi tersebut terdapat pihak berkuasa, mereka beralih ke lokasi yang lain.

Beliau berkata demikian ketika merujuk mengenai tiga lokasi pangkalan haram Gergaji, Rahmat dan Kajang yang merupakan lokasi hot spot para penyeludup sekitar kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas untuk menyeleweng barangan bersubsidi Malaysia ke negara jiran melalui Sungai Golok.

Tiga lokasi tersebut juga adalah sebahagian daripada 128 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen di Rantau Panjang sehingga Pos Tanjong, Pengkalan Kubor, Tumpat yang turut menjadi port membawa masuk barangan dari Thailand seperti beras, barangan kontraban dan lain-lain.