Cadang Cawangan Khas PDRM buru penyeludup minyak masak peket

Annuar (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengunjung Pasar Ketereh semasa program turun padang pada Sabtu.
Annuar (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengunjung Pasar Ketereh semasa program turun padang pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan Cawangan Khas untuk memburu kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak masak peket bersudsidi.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kumpulan tersebut perlu diburu kerana mereka telah melarikan subsidi negara yang dianggarkan berjumlah RM4 bilion menerusi kegiatan penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran.

"Mereka (penyeludup) inilah yang mencuri duit rakyat, kita turut meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal sempadan untuk membantu memburu penjenayah ini," katanya semasa turun padang meninjau Pasar Ketereh di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ATM telah mengenal pasti terdapat 30 titik panas di sempadan yang menjadi tumpuan para penyeludup untuk membawa keluar subsidi negara.

Beliau berkata, kesemua agensi penguatkuasaan ini perlu memainkan peranan dalam membanteras ketirisan ini daripada terus berlaku.

Annuar yang juga Menteri Penerangan dan Komunikasi berkata, setiap hari Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sentiasa melaporkan pergerakan terkini berkait dengan tindakan yang diambil dalam menangani isu minyak masak bersubsidi ini.

"Ini menunjukkan komitmen jitu kerajaan dalam usaha menyelamat subsidi negara," katanya.