Tindakan tegas kerajaan tidak terima tawaran Jho Low dipuji

Lip Eng
Lip Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memuji tindakan tegas kerajaan tidak menerima tawaran RM1.5 bilion oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membersihkan namanya dalam kes penggubalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lip Eng berkata, sekiranya tawaran ini diterima dan kesalahannya diampunkan, maka secara terangnya kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang kleptokratis dan pincangnya sistem keadilan negara.

“Penerimaan tawaran seperti ini akan mewujudkan permulaan sesiapa yang melakukan jenayah boleh diampunkan sekiranya individu terbabit dapat membayarkan sesuatu sebagai tanda pertukaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, jenayah bukanlah sesuatu yang boleh diampunkan dengan begitu sahaja, lebih-lebih lagi jenayah rasuah dan membabitkan kecurian harta negara.

“Perlu diingat bahawa kes rasuah 1MDB adalah kesalahan jenayah yang bukan sahaja merosakkan institusi kebangsaan dan juga maruah negara, malahan kehidupan rakyat Malaysia juga terpalit dengan kesan buruk kes ini,” katanya.

Tambahnya lagi, paling mengejutkan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak tahu menahu berkenaan duit yang ditawarkan oleh Jho Low.

“Amat jelas perkara ini tidak dibincangkan dan diputuskan di dalam mesyuarat kabinet,” katanya

Jelasnya, menteri kabinet digesa untuk menolak segala tawaran yang diberikan oleh Jho Low di dalam mesyuarat kabinet seterusnya.

“Kenyataan rasmi perlu dikeluarkan oleh kerajaan bagi memberikan mesej kepada dunia bahawa negara ini tidak akan berkompromi dengan penjenayah seperti Jho Low,” ujarnya.