Ladang ternakan ayam langgar syarat

Razman. (Gambar kecil) Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Razman. (Gambar kecil) Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri mengesahkan sebuah ladang ternakan ayam berhampiran Kampung Padang Besar Changkat Jering, Taiping telah melanggar garis panduan ternakan ayam yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, ia dikesan berdasarkan siasatan yang dibuat oleh JPV susulan isu kacau ganggu awam yang disiarkan Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, beberapa tindakan telah dilaksanakan oleh Pegawai Veterinar Daerah Larut Matang dan Selama termasuklah meminta pihak ladang mengutip semua najis dengan kadar segera, menggunakan ubat lalat dewasa dan larva sehari dua kali serta cadangan kompaun ke atas penemuan larva.

"Pihak JPV juga mengemukakan cadangan pemberhentian operasi sementara sehingga kesemua penambahbaikan atas teguran kesalahan dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kerajaan Perak akan terus memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan sebarang isu kacau ganggu awam disebabkan ternakan ayam ini dapat dikawal dengan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.

Dalam pada itu, Razman berkata, kerajaan negeri juga perlu memberikan keseimbangan dalam menjaga keperluan bekalan ayam dalam negeri dan negara serta berusaha dalam menjaga kebajikan rakyat serta orang awam untuk keharmonian bersama.

Jelasnya, pihak kerajaan negeri juga dalam usaha untuk memperkasakan undang-undang dengan melaksanakan pindaan Enakmen Perladangan Unggas 2005 seperti meningkatkan kadar kompaun terhadap pengusaha ladang ternakan ayam yang melanggar garis panduan ternakan ayam.

Beliau berkata, orang awam diminta untuk terus membuat aduan kepada Pejabat Veterinar Daerah agar siasatan dan tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan oleh pegawai bertanggungjawab.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kehadiran ribuan lalat yang mengganggu kediaman penduduk di Kampung Padang Besar, Changkat Jering, Taiping sejak dua tahun lalu.

Masalah serangga itu dipercayai berpunca daripada operasi ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira enam kilometer dari kampung berkenaan.