KAK terus beri sokongan kepada Karangkraf

Hussamuddin (duduk dua dari kiri), Muhammad Nasir (tengah) dan Rodly (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan AJK KAK sesi 2022-2024 di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Hussamuddin (duduk dua dari kiri), Muhammad Nasir (tengah) dan Rodly (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan AJK KAK sesi 2022-2024 di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kelab Alumni Karangkraf (KAK) akan terus melibatkan diri dalam setiap program yang dilaksanakan Kumpulan Karangkraf, sebagai tanda sokongan kepada organisasi tersebut.

Pengerusi KAK, Rodly Nayan berkata, ia juga sebagai menghargai komitmen berterusan daripada pihak Karangkraf untuk menghidupkan kelab itu.

“Hidupnya kelab ini juga adalah atas sokongan Karangkraf yang menyediakan dana kepada kita setiap tahun untuk menjalankan aktiviti kelab.

“Sebagai usaha menghargainya, kita seharusnya menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh syarikat, terutamanya World #QuranHour yang pastinya akan memberikan banyak manfaat kepada ahli,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung KAK kali ke-5 pada Sabtu.

Mesyuarat agung tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Penasihat KAK, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan ucapan majlis penutup oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Penaung KAK, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Sementara itu, Rodly berkata, pihaknya dan ahli kelab turut menyambut baik saranan Muhammad Nasir berkenaan penubuhan koperasi sebagai inisiatif menjana pendapatan kelab.

“Insya-ALLAH, ahli jawatankuasa (AJK) akan berbincang dan memperincikan lagi cadangan ini kerana untuk menubuhkan koperasi bukanlah satu kerja yang mudah.

“Memasuki tahun keenam KAK ditubuhkan, sudah sampai masanya untuk kita mengorak langkah lebih jauh, ini kerana tujuan asal penubuhan (kelab) hanyalah untuk mengeratkan silaturahim antara alumni staf Karangkraf,” jelasnya.

Untuk makluman, Mesyuarat Agung KAK kali ke-5 menyaksikan Rodly mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi, manakala Timbalan Pengerusi bagi sesi 2022-2204 pula disandang oleh bekas Setiausaha KAK, Sarimah Husin yang menggantikan Daud Ibrahim.