Kelantan perlukan tambahan RM5 juta urus sampah

DR IZANI HUSIN. Foto SINAR HARIAN
DR IZANI HUSIN. Foto SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pembelian infrastruktur pengurusan sampah dan kebersihan di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, tambahan peruntukan itu termasuk bagi pembelian lori sampah untuk kegunaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.

“Kita cuba minta peruntukan dari kerajaan Persekutuan dan belum diluluskan lagi.

“Setakat ini, peruntukan yang ada sebanyak RM11.2 juta dan tahun depan kami berhasrat untuk meningkatkan peruntukan kepada tambahan RM5 juta lagi daripada Persekutuan untuk pembelian infrastruktur bagi PBT selain daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI),” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Kelantan Sihat Weight Loss Challenge 2022 di Hitfat Gim, di sini, pada Sabtu.

Dr Izani (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tekan tubi pada Kelantan Sihat Weight Loss Challenge 2022. Foto: SINAR HARIAN
Dr Izani (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tekan tubi pada Kelantan Sihat Weight Loss Challenge 2022. Foto: SINAR HARIAN

Hadir sama, Pengasas Hitfat, Tuan Asyrani Nasir.

Dr Izani berkata, kerajaan negeri juga kadang kala membantu menyelenggara rumput dan lalang di jalan-jalan Persekutuan di negeri ini namun memerlukan lebih peruntukan untuk kerja-kerja selenggaraan.

“Jalan-jalan besar yang menghubungkan antara negeri ke negeri dan ada jalan bandar yang bertulis F makna itu jalan Persekutuan yang di bawah selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita buat kerja dalam skop kerajaan negeri, kita tak mampu untuk jaga semua kerana kos tinggi dan jalan Persekutuan jauh lebih banyak, panjang dan besar,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Kelantan mengambil serius isu kebersihan bermula daripada peruntukan hanya RM6 juta kepada Kelantan dinaikkan kepada RM11.2 juta dan tahun depan ingin ditambah lagi RM5 juta untuk menjadikan peruntukan kepada lebih RM16 juta.

“Tahun ini dan tahun depan kami akan beli lagi lori-lori serta hantar kepada PBT dengan bajet yang tertentu.

“Kami juga akan menswastakan empat PBT lagi selepas MPKB,” katanya.