Pesara rugi lebih RM500,000 ditipu Macau Scam menyamar polis

Seorang pesara rugi RM529,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis. - Foto hiasan
Seorang pesara rugi RM529,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis. - Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pesara rugi RM529,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 85 tahun itu hanya menyedari dirinya ditipu ketika membuat semakan akaunnya pada Rabu sebelum membuat laporan polis pada Khamis.

Katanya, pada pertengahan Mei lepas, mangsa menerima panggilan dari suspek, menyatakan mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan akaun banknya akan disiasat pihak berkuasa.

"Mangsa yang ketakutan, telah mengikut arahan suspek dengan memindahkan semua wang miliknya ke dalam salah satu akaun bank yang lain.

"Mangsa itu juga turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan selain menyerahkan kad ATM miliknya kepada suspek.

"Transaksi dilakukan oleh suspek sejak 26 Jun hingga 6 Julai lalu dengan pengeluaran awal yang dilakukan adalah RM10,000 melalui mesin ATM dan RM30,000 melalui pemindahan wang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu

Kamarul Zaman memberitahu, mangsa kemudiannya membuat semakan akaun miliknya mendapati wang berjumlah RM529,300 telah hilang dari akaunnya.

"Hasil semakan warga emas itu mendapati wang simpanannya telah dipindahkan kepada beberapa pihak yang tidak kenali," katanya.

Menurutnya, siasatan pihak polis meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat. Kes disiasat dibawah seksyen 420 kanun keseksaan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan melalui telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

"Gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan iaitu CCID Scam Response Centre, CCID Infoline dan Semak Mule bagi mendapatkan sebarang maklumat berkenaan jenayah komersial," katanya.