Air mata yang sudah terlalu lewat

Dr Wan Azizah sebak ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita PKR sempena Kongres Nasional ke-16 PKR di Pusat Konvensyen IDCC hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah sebak ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita PKR sempena Kongres Nasional ke-16 PKR di Pusat Konvensyen IDCC hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LUAHAN kekecewaan berserta linangan air mata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Wan Azizah) bila menyentuh krisis dalaman dan perpecahan dalam PKR pada Kongres Nasional Wanita dan AMK PKR, pada Jumaat, 15 Julai, sudah agak terlalu lewat.

Namun apa yang lebih menumpu pemikiran ialah siapa yang beliau maksudkan 'umpama gunting dalam lipatan'?

Adakah ia merujuk kepada kumpulan kartel yang masih berpengaruh dan memegang pelbagai jawatan di dalam parti atau kerajaan?

Atau ia ditujukan kepada Rafizi Ramli yang begitu jelas menentang ideologi suaminya?

Atau mungkin juga beliau merujuk kepada suaminya sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar), Presiden PKR yang dilihat menjadi punca keretakan di dalam PKR semakin parah dan sukar diperbaiki?

Wan Azizah tidak boleh lepas tangan atau berpura-pura 'naif' terhadap perkembangan dan pergerakan politik PKR.

Saya yakin beliau tahu dan dapat menjangka perkara sedemikian akan berlaku juga berdasarkan tindak tanduk serta pendekatan Anwar dalam menerajui PKR.

Bagi mereka yang menubuhkan parti, membina dan berusaha demi kelangsungan PKR begitu kecewa apabila orang di dalam parti sendiri yang memecahbelahkan kesatuan anggota dan bermatlamat menguburkannya terus dari arena politik negara.

Setiap kali pemilihan PKR, maka wujud satu gerakan yang terdiri daripada kumpulan yang rapat dan sekeliling Anwar yang campur tangan di dalam proses demokrasi parti.

Mereka ini secara terang-terangan menyatakan tindakan mereka atas arahan Anwar.

Kerap kali kita dengar perjumpaan dilakukan malah panggilan telefon dibuat agar seseorang calon menarik diri untuk memberi laluan kepada seseorang calon pilihan Anwar.

Tidak kurang juga dengan ugutan dan tindakan melabel anggota yang ingkar sebagai 'pengkhianat parti' dan mereka akan sama ada tersisih daripada parti, bertindak menyepikan diri, dipecat atau terus keluar daripada parti.

Pengalaman saya sendiri sebagai Setiausaha Politik kepada Tan Sri Khalid Ibrahim melihat bagaimana pucuk pimpinan mengawal dan mempengaruhi calon-calon yang mahu menawarkan khidmat di dalam parti.

Setelah mengumumkan kepada media kesediaan bertanding jawatan Timbalan Presiden di dalam pemilihan tahun 2010, Khalid kemudian telah diminta oleh Anwar untuk menarik diri dengan persahabatan mereka yang sekian lamanya dijadikan sandaran.

Sebagai seorang yang setiakawan maka Khalid bersetuju menarik diri pada pemilihan 2010.

Begitu juga di dalam pemilihan PKR pada 2014. Pelbagai usaha dilakukan oleh kumpulan Anwar agar Khalid menarik diri, namun kali ini beliau (Khalid) tekad mahu menyelamatkan PKR daripada terus dihancurkan oleh puak-puak yang berkepentingan peribadi.

Setelah usaha memujuk dan 'mengugut' agar Khalid menarik diri gagal, maka gerakan besar-besaran dilakukan untuk memburukkan beliau.

Apabila melihat usaha mereka gagal dan Khalid berjaya memberi tentangan hebat kepada lawan - Azmin Ali, mereka mengeluarkan dokumen fitnah dossier 92 muka surat yang menjadi asas kepada pemecatan beliau daripada parti hingga memberi kemenangan kepada Azmin Ali memegang jawatan Timbalan Presiden.

Saya ingat lagi Tan Sri Khalid telah dipanggil mengadap Jawatan Kuasa Disiplin pada Ogos 2014, jika gagal akan membolehkannya dipecat dari parti.

Kami menjawab surat tersebut dengan memohon ditetapkan satu tarikh yang lain, seminggu selepas itu kerana pada tarikh tersebut, beliau mempunyai program bersama Tuanku Sultan Selangor yang tidak memungkinkan beliau menguzurkan diri.

Malangnya surat tersebut tidak diendahkan dan Khalid dipecat daripada PKR tanpa kehadirannya untuk membela diri.

Saya difahamkan Wan Azizah hadir pada mesyuarat tersebut, namun ketika keputusan dibuat, beliau keluar dari mesyuarat kerana mahu menunaikan solat.

Saya pasti Wan Azizah tahu apa keputusan yang akan diambil meskipun tidak bersama memutuskannya.

Saya dimaklumkan, Peguam PKR menasihatkan Anwar, satu cara mahu memecat Khalid dari jawatan MB ialah dengan memecatnya daripada PKR.

Sahih, setelah dipecat daripada parti, maka Khalid terpaksa mengosongkan jawatan MB Selangor.

Akhirnya orang yang menjadi Timbalan Presiden PKR dan yang menggantikan Khalid adalah orang yang mengkhianati parti hingga berkuburnya kerajaan PH pada 2020.