Stadium Shah Alam perlu ‘nafas baharu’: MB

Majlis Penyerahan LOI Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam antara Haris (kiri) kepada Dell Akbar (kanan) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.
Majlis Penyerahan LOI Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam antara Haris (kiri) kepada Dell Akbar (kanan) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini yang menjadi ikon kepada pembangunan sukan negeri ini memerlukan satu pembaharuan dan diberi ‘nafas baharu’.

Ketika Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat terbabit diminta menyerahkan cadangan terperinci mengenai pelan penambahbaikan atau pembangunan semula stadium berkenaan.

Menurutnya, menerusi penyerahan LOI itu, MRCB akan mengadakan perbincangan terperinci dengan kerajaan negeri berkaitan pelan pembangunan stadium yang berusia hampir 30 tahun dan kawasan di sekitarnya.

Amirudin berkata, keputusan pembangunan semula itu dibuat selepas melakukan pertimbangan teliti sejak tahun 2013.

"Kerajaan negeri menyedari maklum balas orang ramai mengenai Stadium Shah Alam, ada yang mahu kerajaan negeri membaiki kemudahan sukan ini dan mengembalikan zaman kegemilangannya.

"Ada juga yang merasakan bahawa kita harus membina semula dengan kemudahan moden dan memberikan nafas baharu kepada stadium ini.

"Setakat ini, segala cadangan dan pandangan telah diteliti dan akan dikemukakan kepada pemaju untuk dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan LOI Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam antara Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pemilihan MRCB pula dibuat selepas kerajaan negeri yakin dengan kemampuan kewangan syarikat itu untuk menjalankan projek terbabit.

“Kami (kerajaan negeri) tidak mahu sekadar memberikan projek kepada syarikat yang hanya akan menggunakan stadium sebagai cagaran bagi mendapatkan pembiayaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerja baik pulih ke atas stadium itu dilaksana, sebanyak RM787 juta wang pembayar cukai terpaksa digunakan.

“Jadi kami perlu membuat pilihan terbaik demi stadium berkenaan, sama ada membaik pulih atau membina kemudahan baharu,” katanya.

Katanya lagi, rancangan sama ada membina stadium baharu atau dinaik taraf akan diumumkan pada September ini.

"Satu pameran mengenai pembangunan kompleks sukan ini juga akan diadakan selewat-lewatnya pada September agar orang ramai lebih memahami isu-isu yang menyelubungi rancangan pembangunan dicadangkan," katanya.

Amirudin ditemui pada Majlis Penyerahan LOI Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.
Amirudin ditemui pada Majlis Penyerahan LOI Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, orang ramai juga dijemput untuk berkongsi maklum balas mengenai cadangan pembangunan kompleks sukan itu dengan menghantar idea mereka ke platform digital Kompleks Sukan Shah Alam iaitu @KompleksSukanSA di Facebook dan Twitter.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjawab kebimbangan mengenai bebanan kewangan yang akan ditanggung kerajaan negeri akibat daripada projek ini ketika rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup seperti inflasi.

"Projek pembangunan ini akan menjadi satu perkongsian awam dan swasta dengan penyelesaian menang-menang untuk semua dan di pihak kerajaan negeri, tiada dana awam diguna pakai untuk projek ini.

"Usaha ini bukan sahaja berteraskan kelestarian kewangan, tetapi juga kelestarian alam sekitar kawasan ini.

"Kami juga menjangkakan kesan limpahan ekonomi yang amat besar, bukan sahaja di kawasan sekitarnya, tetapi juga kepada Negeri Selangor secara keseluruhannya," ujarnya.

Tambahnya, projek tersebut akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan itu, seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang dekat dengan stesen bagi laluan LRT3, yang dijadualkan beroperasi menjelang 2024.