MR D.I.Y sokong inisiatif alam sekitar

Sukarelawan MR D.I.Y Cares menyertai kempen penanaman pokok bersama Yayasan Telekom Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa, baru-baru ini.
Sukarelawan MR D.I.Y Cares menyertai kempen penanaman pokok bersama Yayasan Telekom Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Peruncit perkakas rumah, MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y) menerusi sukarelawan MR. D.I.Y Cares menyokong dua inisiatif alam sekitar yang berbeza iaitu kempen penanaman pokok dan program konservasi haiwan sebagai usaha melindungi dan memelihara sumber alam.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Azlam Shah Alias berkata, seramai 16 sukarelawan MR D.I.Y Cares telah menyertai kempen penanaman pokok bersama Yayasan Telekom Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa, baru-baru ini.

Menurutnya, mereka menyertai projek penanaman pokok Gutta Percha yang terbesar di Malaysia dengan menanam 1,000 pokok di Taman Botani Putrajaya dalam masa 24 jam.

“Projek Gutta Percha telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records atas usahanya menanam 5,017 pokok di 23 lokasi di Semenanjung Malaysia. Projek tersebut diilhamkan daripada kempen ‘Penghijauan Malaysia, Pokok Kita, Kehidupan Kita’ yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk memelihara biodiversiti di negara ini,” katanya salam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Azlam, menerusi konservasi haiwan pula, seramai 30 sukarelawan MR D.I.Y Cares telah mengunjungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang.

“Mereka berpeluang mendekati serta memberi makan dan memandikan gajah-gajah di pusat konservasi tersebut. Mereka juga telah membersihkan kandang anak-anak gajah dan kawasan-kawasan sekelilingnya, memasang semula jaring di sekeliling halaman, dan membaik pulih tiang papan tanda yang lama,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut merupakan usaha sama antara MR D.I.Y, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertujuan menyokong usaha konservasi haiwan dan meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh haiwan-haiwan untuk meneruskan hidup.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MR D.I.Y menyokong inisiatif-inisiatif kelestarian yang bertujuan memelihara, melindungi dan memulihkan alam sekitar.

“Sumber-sumber alam dan biodiversiti adalah aset-aset negara yang amat penting, dan sebagai jenama kelahiran tempatan, kami ingin turut memainkan peranan,” katanya.