Agenda perkuat parti perlu jadi fokus utama Kongres PKR

Aminuddin (tiga dari kiri) ketika menyerahkan Anugerah Tokoh Guru Negeri Sembilan di Seremban pada Khamis.
Aminuddin (tiga dari kiri) ketika menyerahkan Anugerah Tokoh Guru Negeri Sembilan di Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Agenda memperkuatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) harus menjadi sebahagian daripada tumpuan utama Kongres PKR yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, senada dengan pandangan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti-parti induk di dalam PH mesti diperkukuhkan kekuatannya berbanding membincangkan tentang agenda khemah besar.

"Topik berkenaan adalah penting bagi mengukuhkan parti dan selepas pilihan raya baru kita cerita apa akan berlaku.

"Tetapi sebelum itu kita betulkan dan baiki rumah (parti) kita, jangan ada bunyi malah tak nak ada masalah.

"Apa yang penting rumah kita kukuh lepas ini barulah kita lihat apa seterusnya," katanya kepada pemberita selepas selesai sambutan Hari Guru peringkat Negeri Sembilan tahun 2022 di sini pada Khamis.

Pada Khamis sebuah portal melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan konsep pendekatan 'khemah besar' yang merangkumi parti-parti pembangkang sebagai mengelirukan dan berkata parti-parti induk PH harus merangkul kekuatan.

Anwar turut menjelaskan parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan Amanah mesti diperkukuhkan dan diperkuatkan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, selepas Kongres PKR berakhir dengan 20 orang ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dipilih, parti itu perlu terus menumpukan tugas bagi menghadapi PRU15.

"Saya juga rasa tajuk-tajuk yang akan dibincangkan pastinya tentang perpaduan, tentang menghadapi piihan raya yang makin hampir. Saya berharap ini akan diberikan tumpuan oleh pembahas dan semua perwakilan.

"Selepas ini balik sahaja daripada kongres kita tumpukan kepada agenda iaitu menghadapi pilihan raya," katanya.