X

Kindly register in order to view this article
!

GPMS syor kerajaan gubal undang-undang kawal sijil palsu

Nik Saiful Adli Burhan
A
A

KOTA BHARU - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang untuk mengawal institusi pendidikan yang mengeluarkan ijazah palsu.

Naib Presidennya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak demikian untuk mengawal perkara tersebut daripada terus berleluasa.

“Selain itu, kerajaan boleh wujudkan pangkalan data setiap graduan yang memiliki kelulusan akademik yang diiktiraf supaya setiap kelulusan boleh disemak oleh orang awam.

"Ia sama seperti kerajaan mewujudkan pangkalan data untuk penerima darjah kebesaran sebelum ini,”katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, tiada undang-undang khusus mengawal selia pengeluaran ijazah palsu melalui pembelian ijazah secara pintu belakang daripada institusi pengajian tinggi (IPT) sedia ada yang diiktiraf atau ijazah daripada institusi tidak wujud.

"Melalui undang-undang sedia ada di bawah seksyen 465 Kanun Keseksaan, ia hanya terpakai sekiranya ijazah palsu ini digunakan dalam urusan rasmi seperti permohonan biasiswa ataupun lantikan kerja.

“Namun, bagi kes-kes yang memperoleh ijazah palsu tetapi tidak digunakan dalam urusan rasmi, seksyen ini tidak terpakai," katanya.

Nik Saiful Adli berkata, melihat kepada trend itu, kebanyakan yang memiliki ijazah palsu dipercayai kerana mahu mendapatkan status tinggi dalam masyarakat

"Sebab itulah pembeli terdiri daripada orang politik dan pemimpin tempatan. Jadi, dengan adanya pengawalan melalui undang-undang, kemuliaan akademik dapat dipelihara.

"Selain itu ia dapat menyedarkan masyarakat bahawa pendidikan ini bukanlah barang dagangan yang boleh dijual beli sesuka hati,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!