KUSKOP agih lebih RM14 juta bantu peniaga PKS terjejas banjir

Noh (lima dari kiri) ketika gimik penyerahan Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) di Uptown Shah Alam, di sini pada Rabu.
Noh (lima dari kiri) ketika gimik penyerahan Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) di Uptown Shah Alam, di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengagihkan pinjaman sebanyak RM14.67 juta di bawah Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) kepada 152 peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan yang disalurkan melalui SME Corp Malaysia dengan kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) turut diagihkan kepada 62 peniaga PKS di Uptown Shah Alam, di sini yang turut terjejas akibat bencana berkenaan.

Menurutnya, Selangor merupakan negeri yang paling banyak mendapat bantuan daripada Skim Bantuan Bencana Alam menerusi sebahagian peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta.

"Daripada peruntukan RM100 juta, negeri yang paling banyak mendapat kemudahan daripada Skim Bantuan Bencana Alam ialah negeri Selangor kerana perbelanjaan atau usahawan atau pengusaha IKS yang terkesan akibat banjir ialah seramai 851 orang.

"Daripada jumlah tersebut, hampir RM84 juta kita berikan bantuan ini dalam bentuk pinjaman, dan kawasan yang paling banyak menerima bantuan ini ialah kawasan Shah Alam seramai 152 kerana banjir yang melanda di sini, dan ramai pengusaha IKS di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) di Uptown Shah Alam, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Noh berkata, kumpulan usahawan mikro di Selangor paling ramai menerima geran bantuan bernilai RM3,000 secara 'one-off' akibat banjir pada tahun lalu.

"Kita dapat peruntukan sebanyak RM50 juta, daripada jumlah tersebut, sejumlah RM15.8 juta disalurkan kepada golongan berkenaan menerusi pemberian geran," katanya.