RISDA bantu 140 pekebun kecil

Mohd Salim (depan) meninjau kawasan di Kampung Iboi yang terjejas banjir.
Mohd Salim (depan) meninjau kawasan di Kampung Iboi yang terjejas banjir.
A
A
A

BALING - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan Rancangan Pemulihan Kebun (RPK) melibatkan 98 hektar kebun getah yang terjejas banjir dan kepala air di Kampung Iboi di sini minggu lalu.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, jumlah itu melibatkan 10 peratus daripada keseluruhan mangsa bencana banjir di Baling terdiri daripada 140 pekebun kecil.

Menurutnya, bantuan merangkumi penanaman semula kebun yang rosak atau musnah termasuk pemulihan kawasan, baja, benih dan prasarana.

“Bantuan ini dikhususkan kepada pekebun kecil. Mereka layak menerima bantuan pemulihan pada kadar maksimum RM7,710 bagi sehektar kawasan kebun getah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di kawasan bencana Kampung Iboi di sini pada Rabu.

Mohd Salim (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan Yayasan RISDA berupa kotak makanan kepada mangsa banjir dan kepala air di Kampung Masjid Iboi.
Mohd Salim (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan Yayasan RISDA berupa kotak makanan kepada mangsa banjir dan kepala air di Kampung Masjid Iboi.

Jelasnya, kelayakan RPK turut merangkumi kemusnahan atau kerosakan tanaman yang berpunca daripada haiwan liar, cuaca dan serangan penyakit melibatkan kawasan kebun bawah lima hektar.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai enam usahawan bimbingan RISDA turut terkesan dalam bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi.

“Dua orang usahawan iaitu bakeri dan madu kelulut mengalami kemusnahan keseluruhan premis, manakala empat lagi mengalami kerosakan kecil,” jelasnya.

Mohd Salim berkata, RISDA masih meneruskan operasi mengenal pasti jumlah keseluruhan kawasan kebun terjejas bagi memastikan pekebun kecil menerima manfaat RPK.

Dalam kunjungan sama juga, RISDA turut melaksanakan tanggungjawab sosial menerusi Yayasan RISDA bernilai RM100,000 melibatkan 1,000 unit bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir.

“Kita juga menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada 17 mangsa yang rumah mereka rosak teruk dan hanyut,” ujarnya.

Tambah beliau, daerah Baling mempunyai 13,121 orang pekebun kecil dengan keluasan penanaman 13,988 hektar iaitu terbesar di Malaysia.