712,435 PATI daftar Program Rekalibrasi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 712,435 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar di bawah Program Rekalibrasi sejak ia dilaksanakan pada November 2020 hingga tarikh akhir pelaksanaannya, 30 Jun lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu merangkumi 293,907 PATI mendaftar untuk Program Rekalibrasi Pulang (RP) manakala 418,528 lagi mendaftar untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

"Seramai 255,111 PATI di bawah program PR telah pulang ke negara asal masing-masing dengan penjanaan hasil kerajaan sebanyak RM140,558,600," katanya selepas menyerahkan Surat Keputusan Kewarganegaraan di kementeriannya di sini pada Rabu.

Menurutnya, bagi RTK, seramai 335,276 orang PATI telah hadir proses verifikasi di pejabat Imigresen.

"Bagaimanapun daripada jumlah itu, seramai 3,900 PATI telah gagal dalam verifikasi antaranya tersenarai disyaki, senarai hitam serta dilaporkan lari dari majikan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah diluluskan oleh Imigresen menerusi RTK adalah 114,121.

“Kerajaan telah menjana kutipan wang cagaran sebanyak RM209,262,000 dan mengutip hasil yang direkodkan menerusi Fi Rekalibrasi, levi, pas, visa dan proses pula berjumlah RM331,844,264.50,” katanya.

Hamzah dalam pada itu mengingatkan majikan agar tidak menyalahgunakan pekerja-pekerja warga asing yang telah mereka daftarkan.

“Kalau daftar untuk kerja di restoran, mereka tidak boleh berkhidmat untuk sektor lain. Jangan salah guna,” katanya.

Pada 16 November 2020, kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang dilaksanakan imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain.

Program itu bagi meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan kerajaan.