38 iklan jual minyak masak diturunkan

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa sebanyak 38 iklan penjualan minyak masak peket serta botol di dua platform utama e-dagang telah diarah untuk diturunkan.

Ujar beliau, tindakan itu dilakukan menerusi usaha gempur kegiatan dagangan barang kawalan dan bersubsidi bagi tempoh 1 Julai hingga 12 Julai lalu.

“Penguatkuasaan bagi tempoh 1 Julai hingga 12 Julai lalu itu turut menyaksikan 18 premis yang mempunyai alamat penjual pada platform dalam talian berkenaan digempur, sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bekalan minyak masak peket dan botol.

“Justeru, satu kes direkodkan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974 - mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4.

“Bagi kes kedua pula, tindakan diambil mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 - menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan,” katanya dalam ciapan di akaun Twitternya pada Rabu.

Sinar Harian pada 27 Jun lalu melaporkan taktik peniaga menjual minyak masak peket secara dalam talian untuk mendapat keuntungan berganda.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-kedua kes tersebut sedang dalam tindakan mengikut saluran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

“Sebanyak 255 minyak masak peket satu kilogram (kg) dan 41 minyak botol (dalam kemasan 500gram, satu kg, dua kg dan tiga kg) disita, dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,495.50.

“Bagi mengekang ketirisan dan penyelewengan subsidi yang sepatutnya dinikmati golongan memerlukan, KPDNHEP selanjutnya sedang meneliti beberapa langkah untuk mengetatkan tatacara jualan dalam talian, khususnya membabitkan barangan kawalan serta bersubsidi,” ujarnya.