[VIDEO] 20 bomba 'mandi' peluh tumbangkan lembu sado Neelofa

Neelofa (tiga dari kanan) bersama suami, PU Riz (dua dari kanan) dan Zainal (kanan) pada Majlis Korban Perdana JBPM Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Neelofa.
Neelofa (tiga dari kanan) bersama suami, PU Riz (dua dari kanan) dan Zainal (kanan) pada Majlis Korban Perdana JBPM Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Neelofa.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 20 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan 'bermandi' peluh merebahkan lembu sado seberat 1,000 kilogram (kg) milik selebriti, Neelofa untuk dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut Noor Neelofa Mohd Noor bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz turut menyumbangkan seekor lagi lembu sado seberat 800kg dari baka yang sama iaitu Charolais untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Selain itu, sebanyak lima ekor lembu baka tempatan turut disumbangkan oleh selebriti berkenaan menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa.

Neelofa berkata, pihaknya menyasarkan 850 orang akan menerima sumbangan daging korban tersebut.

"Daripada jumlah itu, kita akan agihkan kepada 150 anggota JBPM Kelantan dari seluruh negeri," katanya pada Majlis Korban Perdana JBPM Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Neelofa.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Menurutnya, selain Kelantan ibadah korban tersebut turut berlangsung di Kedah, Perak dan Selangor.

Lebih 20 anggota JBPM Kelantan 'bermandi' peluh merebahkan lembu sado seberat 1,000kg milik selebriti Neelofa untuk dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Rabu.
Lebih 20 anggota JBPM Kelantan 'bermandi' peluh merebahkan lembu sado seberat 1,000kg milik selebriti Neelofa untuk dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Rabu.

Katanya, pada tahun ini sebanyak 15 ekor lembu disumbangkan untuk program berkenaan di kawasan terlibat.

Sementara itu, Zainal berkata, korban perdana tersebut merupakan julung kali diadakan di JBPM Kelantan dan pihaknya berterima kasih kepada Pertubuhan Kasih Neelofa di atas sumbangan tersebut.

"Pertubuhan Kasih Neelofa telah banyak menyumbangkan kepada JBPM terutama semasa pemberian vaksin di Gua Musang dengan menyediakan sumbangan barangan dapur kepada keluarga orang asli di sana.

"Mereka juga turut menyumbang kepada mangsa banjir di Kelantan sebelum ini, terima kasih di atas keprihatinan tersebut," katanya.