Pelajar terima manfaat Wakaf ADD

Mohd Daud (dua dari kiri) menyampaikan Wakaf Allahyarham ADD MAIWP kepada wakil kategori sekolah rendah.
Mohd Daud (dua dari kiri) menyampaikan Wakaf Allahyarham ADD MAIWP kepada wakil kategori sekolah rendah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 100 pelajar daripada keluarga asnaf fakir, miskin dan B40 menerima manfaat bantuan pendidikan Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy (ADD).

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, setiap pelajar akan menerima bantuan antara RM300 hingga RM1,000 membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM51,000.

Menurutnya, bantuan secara one-off itu akan diagihkan kepada pelajar di peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi di Wilayah Persekutuan.

“Bantuan ini adalah selaras dengan hasrat Allahyarham ADD yang mewakafkan hartanya kepada MAIWP untuk digunakan bagi tujuan pendidikan.

“Insya-ALLAH, manfaat wakaf ini akan dilaksanakan secara tahunan,” katanya pada Majlis Pengagihan Manfaat Wakaf Allahyarham ADD MAIWP di Menara Wakaf Bank Islam di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Wakaf ADD MAIWP, Zainal Abidin Shaik Zakaria dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Mohd Daud berkata, ADD berasal dari Gujerat, India yang datang dan menetap di Tanah Melayu sekitar 1940-an dan meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 24 Januari 1987.

“Sebelum meninggal dunia, beliau telah menyatakan hasrat untuk mewakafkan seluruh hartanya bagi manfaat ummah.

“Allahyarham telah mewakafkan hartanah bernilai tinggi bagi membolehkan pembinaan Menara Wakaf Bank Islam dimajukan dan memberi pulangan besar kepada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, tanah yang asalnya bernilai RM32 juta meningkat hampir 15 kali ganda kepada RM424 juta setelah dimajukan.

“Inilah teladan kepada kita pada zaman ini, sebagaimana yang kerap kita dengar dari kisah sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak meninggalkan harta kerana mewakafkan harta mereka sebelum meninggal dunia.

“Ini menjadi petunjuk bahawa agama menggalakkan kita mencari dan mengembangkan harta, tetapi perlu diingatkan harta kekayaan itu bukan milik mutlak kita. Ia perlu dikongsikan kepada ummah dalam bentuk zakat, sedekah serta wakaf,” katanya.

Program sama turut menyaksikan penyerahan replika kunci kenderaan serba guna (MPV) kepada Youth Empowerment Foundation Malaysia (YEF Malaysia) daripada Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) MyWakaf Makmur Unit Trust melalui Pusat Wakaf MAIWP untuk digunakan bagi kemudahan pertubuhan itu dan promosi program wakaf di bawah agensinya.

Mohd Daud turut melancarkan Program Jelajah Kewangan Sosial Islam Peringkat Wilayah Persekutuan dengan kerjasama strategik AIBIM, MAIWP, Pusat Wakaf MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP.