Zaquan semakin pulih

Zaquan
FOTO: Negeri Sembilan FC
Zaquan FOTO: Negeri Sembilan FC
A
A
A

KAPTEN pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak mengesahkan kecederaan lutut dialaminya sebelum ini semakin pulih dan akan kembali memulakan latihan penuh dalam masa terdekat.

Pemain berusia 35 tahun itu berkata, doktor yang merawatnya kecederaan tersebut berpunca daripada kesan pembedahan yang lalu menyebabkan lutut kirinya bengkak.

Jelas Zaquan, keadaannya kini beransur pulih selepas dua minggu dan bersedia untuk diturunkan dalam aksi berdepan Terengganu FC pada 27 Julai ini jika tahap kecergasannya memuaskan.

“Saya sepatutnya ada dalam skuad ketika perlawan menentang Sabah tempoh hari, tetapi selepas bangun dari tidur pada hari perlawanan, saya dapat rasa lutut bengkak.

“Jadi, hendak berjalan kena pakai tongkat dan doktor cakap ini kesan daripada proses pembedahan yang banyak kali sebelum ini yang saya pernah buat.

“Mungkin ada serpihan lebih yang membuatkan lutut saya bengkak tetapi sekarang selepas menjalani proses pemulihan, semuanya sudah beransur pulih,” jelasnya.

Sebelum ini, Zaquan terpaksa diketepikan dalam aksi menentang Sabah FC pada 3 Julai lalu selepas mengalami kecederaan mengejut di bahagian lutut pada hari perlawanan.

Dalam pada itu, Zaquan mengakui Negeri Sembilan yang kini di kedudukan ketiga liga berada di landasan yang tepat bagi menamatkan saingan musim ini dalam kelompok pasukan terbaik.

“Untuk saya, kita sekarang di landasan terbaik sebab saya boleh katakan pasukan ini bukanlah pasukan pilihan untuk berada dalam kelompok lima teratas.

“Tetapi sekarang kita boleh memberi cabaran dan ketika tewas kepada Sabah tempoh hari, jangan kita lihat atas kekalahan sahaja.

“Betul, kita banyak kekurangan tetapi kita juga lebih realistik dan sekarang selepas jendela perpindahan kedua, semua pasukan sudah mula buat percaturan yang berbeza”, jelasnya.