Korbankan Charolais demi asnaf

Murtadhatumizi (kiri) menghadiahkan seekor lembu kesayangan baka Charolais yang bernilai RM15,000 pada sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
Murtadhatumizi (kiri) menghadiahkan seekor lembu kesayangan baka Charolais yang bernilai RM15,000 pada sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
A
A
A

TUMPAT - Mengambil semangat korban, seorang ahli perniagaan menghadiahkan seekor lembu kesayangan daripada baka Charolais bernilai RM15,000 untuk dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad.

Murtadhatumizi Mustapha, 27, berkata, lembu yang dipelihara sejak dua tahun lalu sudah mencapai berat 700 kilogram.

“Saya jangka kira-kira 1,000 golongan asnaf akan dapat menikmati agihan daging korban tersebut.

“Agihan tersebut melibatkan penerima-penerima dari sekitar Kota Bharu dan Tumpat,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Dalam Pagar, Pasir Pekan Hilir di sini pada Jumaat.

Menurutnya, seramai 15 petugas telah diberikan tugasan untuk melakukan kerja-kerja melapah lembu tersebut sebaik sahaja kerja-kerja penyembelihan selesai.

Murtadhatumizi mengakui beliau gembira dapat menyumbangkan seekor lembu untuk diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Kasih Mz Gold Kelantan (Kasih MzGold) menyedari kenaikan kos sara hidup pada hari ini sememangnya menyukarkan golongan berpendapatan rendah untuk menjalankan ibadah korban.

“Jadi, saya nekad mengorbankan lembu ini untuk diagihkan kepada orang ramai yang tidak mampu berbuat demikian,” katanya yang berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan Kasih MzGold pada masa akan datang.