PRU15: Perikatan Nasional tambah baik logo

Muhyiddin berucap pada Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di Manjoi pada Isnin.
Muhyiddin berucap pada Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di Manjoi pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) akan menambah baik logo untuk digunakan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahbaikan itu merupakan satu cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN kira-kira dua minggu lalu.

"Pada fikiran saya perkara ini baik untuk masa hadapan dalam membuat penambahbaikan pada logo tetapi kita perlu meminda Perlembagaan sebelum memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Yang ada kini pun sudah baik tapi hendak diperbaiki lagi. Mungkin sesetengah parti ada simbol-simbol digunakan jadi kita lihat sama ada warna ini terus dikekalkan atau logo sesuai diperkenalkan," katanya ketika ditemui pada Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di Manjoi di sini pada Isnin.

Mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membayangkan tidak menggunakan logo PN dan bulan untuk PRU15, Muhyiddin berkata, kenyataan itu merujuk kepada cadangan sama yang telah dibincangkan pada mesyuarat tersebut.

"Mungkin apa yang dimaksudkan beliau pada mesyuarat itu adalah cadangan untuk membuat sedikit perubahan pada logo ini, mereka mahu kita cari logo yang sesuai untuk PN.

"Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedang melihat perkara itu. Secara asasnya, mungkin kita akan menggunakan logo yang telah diubah suai.

"PN kini diterima baik oleh rakyat," katanya.