'Tunggu abang balik'

Jenazah Mohd Kamal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria Sungai Petani kira-kira jam 2.30 pagi Isnin.
Jenazah Mohd Kamal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria Sungai Petani kira-kira jam 2.30 pagi Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Tunggu abang balik". Itu antara pesanan terakhir Allahyarham Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, kepada isteri, Siti Nafishah Mohd Nasir, 29, sebelum keluar operasi dan ditemukan maut akibat dihempap pokok pada Ahad.

Mangsa yang merupakan anggota dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang dikatakan sedang menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak ketika kejadian.

Menurut Siti Nafishah, arwah suaminya ada memberi pesanan agar menunggu kepulangannya selepas tamat operasi pada 1 September nanti.

Siti Nafishah yang juga merupakan anggota tentera berpangkat Koperal dan bertugas di unit 6 Angkut, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani menjelaskan, kejadian yang menimpa suaminya mengejutkan semua namun diterima dengan reda.

Mohd Kamal meninggalkan balu, Siti Nafishah bersama dua anak.
Mohd Kamal meninggalkan balu, Siti Nafishah bersama dua anak.

"Sebelum memulakan operasi pada 30 Jun lalu, suami sempat pesan pada anak sulung, Muhammad Nabil Khalaf, 5, menjaga saya; adiknya, Muhammad Nur Fariman, 2, serta ahli keluarga lain," katanya.

Menurutnya, kejadian diketahui melalui adik lelaki Siti Nafishah yang juga merupakan anggota tentera dan bertugas bersama suaminya.

Mohd Nizam kemudiannya menghubungi keluarga memaklumkan insiden itu.

"Perbualan Mohd Nizam dengan keluarga didengari Muhammad Nabil Khalaf.

"Muhammad Nabil menangis teresak-esak dan beritahu dia terdengar bahawa ayahnya meninggal dunia," katanya.

Jelasnya, arwah suaminya seorang yang baik, penyayang dan disenangi semua ahli keluarga.

Dalam kejadian itu, Mohd Kamal dan seorang lagi anggota, Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, maut setelah pangkalan sementara di kawasan operasi pasukan itu dilanda ribut kira-kira jam 2.30 pagi.

Gambar kenangan Mohd Kamal dan Siti Nafishah bersama dua anak mereka.
Gambar kenangan Mohd Kamal dan Siti Nafishah bersama dua anak mereka.

Setelah keadaan tenang kira-kira jam 2.50 pagi, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan kedua-dua anggota meninggal dunia akibat dihempap pokok.

Jenazah Mohd Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin, Taman Kelisa Ria Sungai Petani manakala jenazah Muhammad Zaki dikebumikan di Chuping, Perlis dengan penuh adat istiadat ketenteraan.