'Tak perlu roboh Stadium Shah Alam jika diselenggara berterusan'

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor masih dalam peringkat penelitian dan perbincangan termasuk pilihan merobohkan Stadium Shah Alam sebagai langkah penjimatan jangka masa panjang.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor masih dalam peringkat penelitian dan perbincangan termasuk pilihan merobohkan Stadium Shah Alam sebagai langkah penjimatan jangka masa panjang.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang bercadang merobohkan Stadium Shah Alam kononnya sebagai langkah penjimatan sedangkan ia hanya memerlukan penyelenggaraan secara berterusan.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, stadium itu tidak seharusnya diroboh jika kerajaan negeri mengambil pendekatan menyelenggara dan membaik pulih kerosakan secara konsisten sama seperti di stadium lain di luar negara dan di negeri lain.

"(Selenggara) stadium ini sama macam rumahlah, apabila rumah hendak roboh (adakah baru hendak) selenggara?.

"Kalau kita buat selenggara dan jaga rumah elok-elok, ia akan bertahan lama, tapi jika kita biar sampai 10 tahun baru hendak baik pulih memang rumah kena runtuh," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Tanjong Karang di sini pada Isnin.

Noh berkata, kerajaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor yang menerajui negeri ini selama tiga penggal disifatkan lebih banyak berpolitik daripada meneruskan kesinambungan kerajaan terdahulu.

"Dari segi prinsipnya kalau buat selenggara berterusan di Stadium Shah Alam takkan roboh," ujar beliau.

Katanya, Stadium Shah Alam yang menjadi mercu tanda kepada Selangor dan menjadi kebanggaan rakyat negeri ini perlu dipertahankan demi masa depan dan nilai sejarah tersendiri.

Noh memberitahu, beliau terlibat secara langsung apabila pernah menjadi pegawai kepada bekas Exco Belia dan Sukan Selangor, Allahyarham Datuk Aziz Desa.

"Allahyarham sering berbincang dengan bekas Pengerusi Majlis Sukan Negeri, Tan Sri Zainal Dahlan," ujarnya.

Justeru, tegas beliau, sebarang usaha merobohkan stadium terbabit hanya mengundang rasa kecewa rakyat di negeri ini.

"Sepatutnya kerajaan negeri ada kesinambungan terhadap pembangunan sedia ada.

"Walaupun berlainan parti sepatutnya mereka mesti mempertahankan stadium ini sepertimana yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran Majlis Korban Perdana Parlimen Tanjong Karang, Noh berkata, sebanyak 36 ekor lembu korban diserahkan di setiap kampung, badan bukan kerajaan (NGO) dan Pas.

"Kita menyerahkan seekor lembu di setiap 34 kampung di Parlimen Tanjong Karang dan masing-masing seekor untuk NGO terdiri daripada persatuan ibu tunggal dan kepada Pas.

"Sumbangan diberikan ini untuk perayaan korban dan kita kena mengetepikan fahaman politik, sebaliknya bersama-sama dalam semangat keluarga di Parlimen Tanjong Karang," ujarnya.