Tunggu laporan hospital sahkan punca kematian pekerja ladang

Mangsa dilaporkan meninggal dunia jam 1.21 pagi Jumaat ketika sedang menerima rawatan di HoSHAS.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia jam 1.21 pagi Jumaat ketika sedang menerima rawatan di HoSHAS.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang masih menunggu laporan daripada pihak hospital bagi mengetahui punca kematian seorang pekerja am ladang kelapa sawit di Mentakab, Temerloh yang diserang kumpulan gajah liar, Selasa lalu.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, mangsa merupakan lelaki berusia 55 tahun mengalami patah pergelangan kaki kiri dan kecederaan pada bahagian badan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan meninggal dunia jam 1.21 pagi Jumaat ketika sedang menerima rawatan di HoSHAS.

"Kita masih menunggu laporan daripada HoSHAS berhubung punca sebenar kematian. Sehingga kini saya tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Selasa lalu, mangsa dipercayai dipijak gajah liar di kawasan ladang tempatnya bertugas pada jam 8 pagi.

Susulan itu, Perhilitan yang menerima aduan pada jam 4.15 petang segera membuat siasatan berhubung kemalangan terbabit.

Rozidan menjelaskan, siasatan mendapati ladang tempat lelaki itu bekerja terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.

Katanya, berdasarkan rekod jabatan di kawasan terbabit terdapat antara 35 hingga 40 gajah yang bergerak dalam beberapa kumpulan di hutan simpan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya terdapat sekurang-kurangnya tujuh gajah bergerak dalam satu kumpulan yang menyerang mangsa sebelum dia dikejarkan ke HoSHAS oleh pihak ladang tempatnya bekerja.

"Kakitangan Perhilitan Temerloh kini membuat pemantauan situasi pergerakan kumpulan gajah di situ bagi rancangan tindakan lanjut selepas ini," katanya.

Sehubungan itu, Rozidan menasihatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak cuba bertindak dengan tujuan menghalau dan menghalang gajah liar kerana perbuatan itu boleh mengundang perkara yang tidak diingini.