IATA: Jumlah trafik udara meningkat 83.1 peratus pada Mei

IATA menjelaskan kelonggaran sekatan berkaitan Omicron telah membantu meredakan kekangan dalam rantaian bekalan dan menyumbang kepada peningkatan prestasi pasaran kargo udara global
IATA menjelaskan kelonggaran sekatan berkaitan Omicron telah membantu meredakan kekangan dalam rantaian bekalan dan menyumbang kepada peningkatan prestasi pasaran kargo udara global
A
A
A

JUMLAH trafik udara pada Mei 2022 yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat 83.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu terutamanya oleh pemulihan kukuh trafik antarabangsa, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam kenyataan pada hari Jumaat, katanya jumlah RPK pada Mei 2022 mencapai 68.7 peratus daripada paras Mei 2019, sekali gus merupakan prestasi terbaik setakat ini pada 2022 berbanding perjalanan sebelum Covid-19.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata pemulihan perjalanan terus meraih momentum berikutan orang ramai perlu melakukan perjalanan dan mereka berbuat demikian selepas kerajaan menamatkan sekatan Covid-19.

"Banyak kawasan laluan antarabangsa utama termasuk di Eropah dan laluan Timur Tengah-Amerika Utara telah melepasi tahap sebelum Covid-19.

"Menamatkan sekatan Covid-19 sepenuhnya adalah tindakan yang perlu dibuat akan datang, di mana Australia merupakan yang terbaru melaksanakannya minggu ini," katanya.

Bagaimanapun, Walsh berkata keyakinan terhadap pemulihan perjalanan tidak membabitkan China khususnya, yang menyaksikan penurunan mendadak bagi perjalanan domestik sebanyak 73.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Dasar sifar Covid-19 yang berterusan adalah tidak seiring dengan langkah yang dibuat di seluruh dunia dan ia menunjukkan pemulihan perjalanan yang lebih perlahan melibatkan China," tambahnya.

Walsh berkata, untuk jangka panjang, kerajaan perlu meningkatkan pemahaman dari segi bagaimana sektor penerbangan beroperasi dan bekerjasama lebih rapat dengan lapangan terbang dan syarikat penerbangan.

Dalam kenyataan berasingan, IATA menjelaskan, kelonggaran sekatan berkaitan Omicron telah membantu meredakan kekangan dalam rantaian bekalan dan menyumbang kepada peningkatan prestasi pasaran kargo udara global pada Mei.

Menurutnya, permintaan global pada Mei 2022 yang diukur dalam kargo tan kilometer (CTK) adalah 8.3 peratus rendah daripada paras Mei 2021 (-8.1 peratus bagi operasi antarabangsa), merekodkan peningkatan dari segi penurunan tahun ke tahun sebanyak 9.1 peratus pada April.

IATA berkata, kapasiti bagi bulan di bawah kajian itu adalah 2.7 peratus melebihi paras Mei 2021 (+5.7 peratus bagi operasi antarabangsa).

"Ia lebih daripada mengimbangi penurunan 0.7 peratus tahun ke tahun pada April. Kapasiti meningkat di seluruh rantau dengan Asia-Pasifik mencatatkan pertumbuhan terbesar," katanya. - Bernama