TPM: Wujud perjanjian antara Muhyiddin, Ismail Sabri

Muhyiddin (kiri), Ismail Sabri Yaakob
Muhyiddin (kiri), Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Marzuki mendakwa, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Sebagai pegawai Perdana Menteri kelapan pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.

“Ia ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin dan Perdana Menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri daripada Bersatu dan seorang menteri UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhyiddin sebelum ini dilapor telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan kemudiannya berkata tiada sebarang perjanjian dengan Ismail Sabri untuk melantik Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Jelas Marzuki, satu fasal dalam perjanjian berkenaan menyebut bahawa dokumen perjanjian yang dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.

“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya.

Marzuki turut mendedahkan bahawa beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu dengan Perdana Menteri.