Warga asing bergelut cuba lari pemeriksaan polis

Seorang lelaki warga asing ditahan kerana enggan memberikan kerjasama semasa diperiksa anggota polis bertugas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur awal pagi Sabtu. - Foto Facebook
Seorang lelaki warga asing ditahan kerana enggan memberikan kerjasama semasa diperiksa anggota polis bertugas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur awal pagi Sabtu. - Foto Facebook
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki warga asing enggan bekerjasama semasa pemeriksaan polis memakan diri sendiri apabila dia ditahan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, dalam kejadian itu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di hadapan Pintu C, TBS sekitar jam 5.45 pagi sebelum dihampiri anggota bertugas dan diminta untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun katanya, suspek yang enggan berkerjasama cuba meloloskan diri, namun berjaya ditahan dan dibawa ke Pondok Polis TBS sebelum dia sekali lagi cuba bertindak melarikan diri daripada tahanan pihak polis.

"Suspek ditangkap dan dibawa ke Pondok Polis TBS atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Ketika berada di Pondok Polis TBS, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan di antara pihak polis dengan suspek, bagaimanapun keadaan dapat dikawal sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kejadian tersebut tular di media sosial selepas sebuah klip video berdurasi dua minit 13 saat memaparkan pergelutan antara suspek dan anggota polis dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook.

Mohammad Idzam berkata, video berkenaan memaparkan percubaan suspek yang berusia 35 tahun itu melarikan diri semasa ditahan di Pondok Polis TBS, namun berjaya digagalkan anggota yang bertugas.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002).

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051," ujarnya.