Ambil iktibar isu jemaah haji terkandas

Seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA pada Khamis selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. - Foto Bernama
Seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA pada Khamis selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pagi Khamis dan dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima 23 laporan sehingga jam 4 petang berkaitan insiden tersebut.

Jelas beliau, pihaknya belum memperoleh maklumat tepat berhubung jumlah sebenar jemaah haji yang terkandas.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), agensi pelancongan yang menguruskan perkara tersebut akan mengembalikan wang dan pasport jemaah secara berperingkat.

Tambah MOTAC, agensi terlibat adalah berlesen dengan pihaknya dan hasil temu bual oleh wakil syarikat di KLIA menyatakan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang dan pasport akan dikembalikan secara berperingkat.

Sekiranya ia tidak dipulangkan, bakal jemaah haji boleh memulakan prosiding undang-undang untuk menuntut semua wang yang telah dibayar dan ganti rugi kepada agensi pelancongan berkenaan.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa jemaah haji tersebut boleh memajukan tuntutan tebus rugi tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sekiranya jalan penyelesaian tidak dicapai.

Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan sekiranya wujud sebarang unsur penipuan, pihak yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman setimpal.

Diharapkan perkara yang terjadi tersebut dapat diambil iktibar dan pengajaran serta tidak berulang pada bakal jemaah haji yang akan melaksanakan haji pada tahun hadapan.

Seharusnya bakal jemaah haji mengkaji terlebih dahulu dengan lebih mendalam terhadap sesuatu syarikat sebelum membuat kata putus.