Wang, pasport jemaah haji terkandas di KLIA dikembalikan

Iklan
Laporan Sinar Harian

PUTRAJAYA - Agensi pelancongan yang menguruskan hampir 400 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis, akan mengembalikan wang dan pasport jemaah secara berperingkat.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada Jumaat, memaklumkan agensi terlibat adalah berlesen dengan pihaknya dan pasukan penguatkuasaan MOTAC telah temu bual wakil syarikat di KLIA pada Khamis dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang dan pasport akan dikembalikan secara berperingkat.

Iklan
Iklan

"Sekiranya mangsa terlibat tidak mendapatkan kembali wang yang dijanjikan, mereka dinasihatkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis berdekatan," menurut MOTAC dalam kenyataan itu.

Mangsa juga diminta membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang.

Iklan

Dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah seperti bukti tempahan pakej, bukti pembayaran deposit, bukti pembayaran penuh, terma dan syarat seragam ke luar negara (jadual keempat) milik syarikat, salinan pasport atau visa, salinan tiket penerbangan (jika ada), laporan polis, serta sebarang dokumen yang boleh membantu dalam siasatan.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. Mereka dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Iklan

MOTAC berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sewajarnya ke atas agensi pelancongan itu di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

"Sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh digantung atau dibatalkan lesen," katanya.

Akta 482 merupakan akta yang memperuntukkan pelesenan dan pengawalseliaan pengusahaan pelancongan serta perkara yang bersampingan atau berkaitan bagi industri pelancongan. - Bernama