Persediaan Aidiladha tetap dibuat walaupun harga barang naik

Gambar hiasan. Foto kecil: (kiri) Razali, Ahmad Faizul, Zamrin
Gambar hiasan. Foto kecil: (kiri) Razali, Ahmad Faizul, Zamrin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Umat Islam di negeri ini tetap melakukan persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha walaupun harga barangan seperti ayam, telur dan minyak masak naik baru-baru ini.

Ahmad Faizul Jalaludin, 47, dari Taman Kota Masai di sini berkata, kenaikan harga barang tidak menghalangnya membuat persiapan hari raya malah turut melakukan ibadah korban pada tahun ini.

"Kita nak buat macamana terutama dengan harga yang tidak menentu, raya haji dah dekat tapi harga ayam berbeza-beza melebihi harga ayam yang ditetapkan kerajaan. Peniaga pula tak letak harga untuk ayam. Tapi nak raya kita terpaksa beli juga.

"Selain itu pada tahun ini juga saya turut melakukan ibadah korban di Masjid Al-Munawarrah Kota Masai di sini. Sebelum ini tiap-tiap tahun saya melakukan ibadah korban," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Dia berkata, sebanyak 10 ekor lembu akan dikorbankan di pekarangan masjid tersebut pada Ahad ini.

Seorang lagi penduduk di taman itu, Razali Hussin, 60, berkata, hari raya korban tetap disambut dan tahun ini dijangka lebih meriah kerana sudah dibenarkan melakukan ibadah korban di majid-masjid terpilih.

Dia yang berniaga kedai runcit di taman itu berkata, penduduk berdekatan tetap membuat persediaan dan permintaan barang keperluan hari raya meningkat dalam minggu ini.

"Meskipun ramai merungut harga barang mahal, namun pelanggan tetap mahu menyambut Aidiladha dengan meriah dan bermakna seperti sebelum ini, maklumlah ini sambutan kali pertama selepas pandemik," ujar bapa kepada tiga anak itu.

Bagi Zamrin Hamzah, 50, dari Taman Dahlia pula berkata, persediaan Aidiladha kali ini dibuat dalam keadaan sederhana bersesuaian dengan paska pandemik Covid-19 selain harga barang yang naik ketika ini.

Apa yang penting katanya, dapat menyambut Aidiladha dalam keadaan aman dan bebas daripada kebimbangan wabak penyakit berjangkit.