Persatuan penyembelih Selangor pantau sembelihan patuh syariah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia (PPTHM) Selangor akan memantau pusat-pusat penyembelihan mahupun pasar basah bagi memastikan aktiviti penyembelihan khususnya di negeri itu dilakukan selaras tuntutan agama Islam.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Suhaimi Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan usaha pemantauan tersebut dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, persatuan berkenaan yang baharu ditubuhkan di Selangor pada 25 Jun lalu bertujuan memastikan umat Islam di Selangor tidak was-was semasa membeli ayam mahupun daging ternakan ruminan selain terpanggil untuk ke depan berikutan isu penyembelihan haiwan ternakan seperti daging lembu meragukan dari luar negara yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Buat masa ini ahli kita seramai 40 orang dalam kalangan penternak, pekerja pusat penyembelihan, bekas kakitangan JAIS.

"Kita mewujudkan PPTHM bagi memastikan integriti dalam proses penyembelihan sama ada di pasar dan pusat penyembelihan terpelihara," katanya ketika ditemui di Seksyen 23, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, Selangor sebagai negeri termaju sewajarnya mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memantau kegiatan penyembelihan agar umat Islam tidak mengambil sumber yang tidak halal.

Ujarnya, PPTHM nasional yang ditubuhkan pada tahun 2013 dan dipengerusikan oleh Mustafa Kamal Abu Bakar memberi fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal antarabangsa utama.

"Selain itu, kursus penyembelihan sama ada untuk amalan rutin dan untuk korban akan diadakan dari semasa ke semasa," katanya.