JBPM tingkat aset, anggota bantu mangsa banjir di Kedah

Bencana banjir menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling, Kedah. Foto Bernama.
Bencana banjir menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling, Kedah. Foto Bernama.
A
A
A

KUCHING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meningkatkan kesiapsiagaan aset dan keanggotaannya bagi memberikan bantuan sekiranya perlu, kepada mangsa-mangsa banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, bantuan penggunaan peralatan yang berkenaan akan diberikan bagi membantu mangsa banjir membersihkan kawasan selut dan lumpur di rumah mereka.

"Kita akan buat satu penggiliran untuk respons kecemasan dan untuk kita beri bantuan kepada mangsa banjir yang mana yang rumah mereka masih ada, tetapi kawasan dalam rumah masih mempunyai lumpur tebal dan selut. Kita akan buat pencucian, termasuklah di sekolah dan pusat komuniti yang perlukan bantuan.

"Kalau perlu, kita akan tingkatkan dengan penggunaan tangki air dengan peralatan pam kita dan dalam masa yang sama, kita akan beri bantuan dari segi barang keperluan dan makanan yang diperoleh menerusi program CSR (tanggungjawab sosial korporat),” katanya selepas majlis penyerahan aplikasi produk Sistem Maklumat Geografi (GIS) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa kawasan yang terjejas akibat bencana itu di Kedah yang tidak menerima bantuan yang menyeluruh setakat ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Bencana itu menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling, Kedah membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Sementara itu, Muhammad Hamdan berkata, aplikasi GIS yang dibangunkan warga Politeknik Kuching itu merupakan kerjasama JBPM Sarawak dengan politeknik berkenaan dalam membina sistem pengurusan data atribut dan data ruang pili bomba yang lebih berkesan.

"Ia dibangunkan menggunakan Google MyMaps untuk mudahkan kita kenal pasti data pili bomba kerana ia penting untuk kita padamkan kebakaran. Penggunaan teknologi ini sejajar dengan Revolusi Industri (IR) 4.0,” katanya.

Turut hadir Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Khirudin Drahman dan Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Himatullah Hajid Ahmad Khan. - Bernama.