[VIDEO] Polis terima 17 laporan kes jemaah haji terkandas di KLIA

Lebih 300 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis, disyaki menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. - Foto tular Facebook
Lebih 300 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis, disyaki menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. - Foto tular Facebook
A
A
A

SEPANG - Polis menerima 17 laporan berkenaan jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, laporan itu dibuat oleh mangsa dan ahli keluarga mangsa.

"Setakat jam 4.30 pagi tadi (Jumaat), ada 17 laporan diterima yang dibuat di beberapa daerah seperti Setapak, Kajang serta KLIA dan dijangka jumlah laporan ini akan bertambah.

"Maklumat awal, lebih 300 jemaah haji terkandas di KLIA. Polis sedang menyiasat kes ini dan sekiranya dikesan ada elemen jenayah, tindakan akan diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, media tempatan melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak pagi Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.