Parcel scam: Empas suspek tipu pesara diberkas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PETALING JAYA - Empat warga asing dipercayai terlibat dalam penipuan parcel scam melibatkan seorang pesara sejak Mac lalu diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek diberkas di kawasan Sri Damansara pada Rabu.

"Empat suspek diberkas berumur antara 30 hingga 40 tahun dipercayai terlibat menipu mangsa yang merupakan seorang lelaki warga emas berumur 62 tahun.

"Siasatan dijalankan mendapati penipuan berkenaan berlaku sejak Mac lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati mangsa mengalami kerugian sebanyak RM64,000 setelah melakukan beberapa transaksi sejak berkenalan dengan seorang wanita warga Jerman menerusi Facebook pada Mac lalu.

"Perkenalan tersebut berterusan menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

"Sepanjang tempoh perkenalan singkat tersebut, suspek memaklumkan akan memberikan pelbagai hadiah kepada mangsa antaranya jam tangan, komputer riba, rantai emas jersey dan mata wang asing berjumlah Euro 20,000," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pada 21 Mac lalu, mangsa menerima satu khidmat pesanan ringkas daripada seorang individu mendakwa merupakan kakitangan sebuah syarikat penghantaran barangan antarabangsa.

"Individu berkenaan mendakwa barangan yang dihantar kepada mangsa telah sampai di Malaysia namun tidak memaklumkan lokasi barang-barang tersebut berada.

"Mangsa diminta oleh suspek untuk membuat bayaran sebanyak RM1,750 sebagai kos proses penghantaran dan beberapa lagi kos jika mahukan barangan tersebut," katanya.

Tambahnya, disebabkan percaya mangsa melakukan transaksi pembayaran ke dalam akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan sebanyak RM64,000.

"Mangsa curiga apabila pihak syarikat tersebut masih meminta mangsa membuat pembayaran biarpun wang telah dibayar.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya apabila menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan," katanya.

Ujar Mohamad Fakhrudin, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.