Sains aktifkan PTK tangani isu bekalan air sempena Aidiladha

Sains mengaktifkan Pelan Tindakan Kontigensi (PTK) selama lima hari bermula Khamis bagi menangani sebarang isu bekalan air sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Sains mengaktifkan Pelan Tindakan Kontigensi (PTK) selama lima hari bermula Khamis bagi menangani sebarang isu bekalan air sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha.
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kontingensi (PTK) selama lima hari bermula Khamis bagi menangani sebarang isu bekalan air di seluruh negeri ini sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, Sains akan terus melaksanakan penyelenggaraan secara bersepadu terhadap aset dan infrastruktur air.

"Ia meliputi pemantauan paras kolam, mengawal injap kawalan tekanan di sepanjang sistem retikulasi dan rumah-rumah pam khususnya menjelang musim perayaan.

"Kakitangan Sains sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia 24 jam bagi memastikan setiap gangguan yang berlaku dapat diatasi dengan pantas," katanya pada Jumaat.

Jelasnya, keperluan lori tangki dan tangki statik akan sentiasa bersedia untuk ditempatkan mengikut keperluan semasa yang memerlukan bagi kawasan tinggi dan di penghujung sistem retikulasi.

" Justeru, Sains memohon kerjasama kepada pengguna air sepanjang musim perayaan ini agar menggunakan air secara lebih berhemah dan bersiap sedia dengan kemungkinan yang berlaku dengan menyediakan air simpanan sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 jam.

"Gangguan bekalan air boleh terjadi disebabkan oleh beberapa perkara di luar jangka seperti pencemaran kualiti air mentah di sungai utama yang mengakibatkan loji rawatan air terpaksa mengurangkan pengeluaran atau memberhentikan operasi.

"Selain itu, insiden berlakunya tekanan air rendah setiap kali perayaan adalah disebabkan oleh penggunaan air yang berganda pada waktu

puncak serta gangguan bekalan air disebabkan paip pecah," katanya.

Menurut Norzita, keprihatinan para pelanggan amatlah diharapkan dalam waktu-waktu seperti ini.

Beliau berkata, bantuan dan kerjasama daripada semua pelanggan dalam melaporkan sebarang insiden paip pecah secara terus kepada Sains amatlah diharapkan agar tindakan membaikinya dengan segera dapat diambil bagi mengelakkan tempoh berlakunya gangguan lebih lama.

"Para pelanggan yang ingin membuat sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 yang beroperasi selama 17 jam sehari bermula dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam.

"Mereka juga boleh melayari laman web SAINS di www.sainswater.com, Facebook Pusat Khidmat Pelanggan Sains atau melalui aplikasi iSAINS bagi mendapatkan maklumat terkini kawasan gangguan bekalan air yang berlaku di seluruh daerah di Negeri Sembilan," katanya.