Bajet 2023 teruskan momentum pemulihan perkukuh ekonomi

 Bajet 2023 akan meneruskan momentum pemulihan semasa selain memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi. - Foto 123rf
Bajet 2023 akan meneruskan momentum pemulihan semasa selain memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2023 akan meneruskan momentum pemulihan semasa selain memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bajet yang bertemakan Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, juga masih menyaksikan kerajaan memberi tumpuan kepada rakyat, perniagaan serta ekonomi.

"Walaupun Bajet 2023 akan hanya dibentangkan pada suku keempat tahun ini, kita telah memulakan proses libat urus untuk mendapatkan maklum balas rakyat.

"Kerajaan juga sentiasa komited untuk terus meningkatkan ketelusan proses penyediaan bajet dan menggalakkan penyertaan orang ramai,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-102 menerusi laman Facebook beliau pada Khamis.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, proses Bajet 2023 dimulakan dengan mengeluarkan kenyataan Pra-Bajet 2023 (KPB) pada 3 Jun lepas bagi memastikan rakyat mengetahui keutamaan kerajaan bagi bajet tersebut.

Malah, Kementerian Kewangan (MOF) turut meminta persatuan industri, dewan perniagaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi cadangan yang perlu diambil kira oleh kerajaan penyediaan Bajet 2023.

Jelas beliau, sama seperti tahun lepas, MOF juga akan mengeluarkan Kertas Rundingan Awam mengenai langkah dasar Bajet 2023 yang dirancang untuk maklum balas orang ramai.

"Seterusnya, saya dan timbalan-timbalan saya akan turun ke semua negeri untuk berdialog dan melihat sendiri keadaan dan keperluan rakyat untuk mendapatkan maklum balas secara terus. Seperti tahun sebelumnya, Kementerian Kewangan mengadakan Program Jelajah Bajet untuk berjumpa rakyat,” katanya.

Mengulas pencapaian dalam Laporan Kewangan Rakyat itu, Tengku Zafrul berkata, sehingga Jun 2022, lebih daripada 150,000 rakyat telah mendapat pekerjaan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang menyediakan 600,000 peluang kerja dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion.

"Antara kayu ukur kejayaan inisitiaf tersebut adalah melalui kadar pengangguran negara yang mana ketika pandemik Covid-19, kadar pengangguran memuncak kepada 5.3 peratus pada Mei 2020. Namun, dalam fasa peralihan ke endemik, kadar pengangguran itu telah jatuh sebanyak 3.9 peratus pada April 2022.

"Sasaran kerajaan untuk kadar pengangguran pada tahun ini adalah 4.0 peratus, tetapi turun kepada 3.9 peratus. Ini bermakna inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan telah menunjukkan impaknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhannya setakat sehingga April 2022, sebanyak 257 daripada 282 inisiatif strategik di bawah Bajet 2022 yang dipantau oleh Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022, telah mula dilaksanakan.

"Baki 25 inisiatif akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini,” kata beliau. - Bernama