Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan 12 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP), Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan pada 1.15 tengah hari tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pukul 9.25 pagi tadi adalah berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu itu.

"Lori dipandu individu itu telah hilang kawalan lalu melanggar 11 kenderaan di hadapannya.

"Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dalam kemalangan itu, enam kenderaan merupakan kenderaan tempatan, manakala enam lagi merupakan kenderaan asing.

Katanya, selain lori berkenaan, sembilan daripadanya adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

Bagaimanapun, Raub berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula adalah negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama