[VIDEO] Insiden lori langgar beberapa kenderaan di JB-Woodlands disiasat

Kenyataan Ka Siong di Facebook pada Khamis.
Kenyataan Ka Siong di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan lanjut berhubung insiden sebuah lori melanggar beberapa kenderaan lain di Johor Bahru-Woodlands pada pagi Khamis.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden tersebut.

Menurutnya, pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pula akan menyiasat dari aspek teknikal untuk mencari punca kemalangan.

“Sementara pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, tular video rakaman sebuah lori melanggar belakang beberapa kereta lain di laluan Johor Bahru-Woodlands yang dipercayai mengalami kegagalan brek.

Ka Siong turut meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku supaya menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video sekiranya ada bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.