Mara sasar jualan RM100 juta menerusi Halmart

Mahdzir - Foto Bernama
Mahdzir - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM100 juta pada tahun ini menerusi program Pembangunan Peruncitan Mara: Halal Mart (Halmart), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai susulan 14 usahawan Halmart yang mengikuti program berkenaan sejak tahun lepas meraih nilai jualan sebanyak RM50 juta dengan lebih 2,000 unit simpanan stok (SKU) berjaya dipasarkan.

Menurutnya, pencapaian ini membuktikan bahawa industri peruncitan mampu merekodkan pertumbuhan memberangsangkan walaupun dalam cabaran ekonomi era pandemik Covid-19.

"Program Halmart ini merupakan satu program pemadanan produk antara pengeluar produk Industri Kecil Sederhana (IKS) dan pengusaha pasar raya bagi membantu pengeluar memasarkan produk ke pasaran tempatan.

"Mara juga menyalurkan dana pembiayaan serta latihan berjumlah hampir RM5 juta kepada 14 usahawan bagi fasa pertama ini bagi meningkatkan jualan, sekali gus menyumbang kepada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Peruncitan Mara: Halmart di sini pada Khamis.

Mahdzir berkata, platform yang disediakan Mara bukan sahaja bagi memperkasakan kedai serbaneka, malah menyediakan tempat atau ruang untuk usahawan IKS memasarkan produk mereka.

Jelasnya, pengusaha Halmart juga mengikuti siri latihan keusahawanan khas disediakan Mara bersama pakar dalam industri berkaitan meliputi pengurusan operasi syarikat, sistem kewangan, kemudahan pembiayaan dan khidmat perundingan.

Beliau turut berharap, lebih banyak kedai serbaneka berkonsepkan halal terutamanya di luar bandar dapat diwujudkan dan dijadikan pemangkin kepada pembangunan ekonomi, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, Mahadzir berpandangan, elaun pelajar tajaan Mara perlu dinaikkan sedikit kerana mengambil kira situasi kenaikan kos sara hidup pada masa ini.

"Bagi pelajar luar negara, kita telah adakan perbincangan khusus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan satu kertas kerja sedang disiapkan, kita serahkan pada kabinet untuk memutuskan manakala pelajar tajaan dalam negara pula akan diputuskan Kementerian Pengajian Tinggi," katanya. - Bernama