Pelarian wanita Rohingya dituduh seludup pil yaba maut ditembak

Anggota BGB menunjukkan antara bungkusan pil yaba yang dirampas susulan operasi anti nerkotik sebelum ini. - Foto AFP
A
A

TEKNAF - BANGLADESH . Pihak keselamatan Bangladesh dilapor menembak mati seorang wanita pelarian Rohingya yang didakwa menyeludup pil yaba dari negara jiran, Myanmar.

Rumana Akter berusia 20 tahun, merupakan pelarian wanita Rohingya pertama dari kem pelarian Teknaf yang terbunuh susulan operasi anti narkotik kerajaan Bangladesh.

Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) berkata, Rumana terbunuh ketika insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan pengedar dadah dan senjata di Sungai Naf yang merupakan sempadan dua negara, Banglasesh dan Myanmar.

Jurucakap BGB Shariful Islam memberitahu, mayat wanita itu ditemui selepas insiden tembak menembak semalam dan 10,000 ribu pil yaba serta tiga bilah pisau turut ditemukan bersama mangsa.

Mangsa dikatakan salah seorang antara tiga penyeludup yang terbunuh dalam dua insiden berasingan di Teknaf, terletak berhampiran kem pelarian yang menempatkan hampir sejuta pelarian Rohingya Muslim yang melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar sejak Ogos 2017.

Namun, kumpulan hak asasi manusia mempersoal kematian Rumana berikutan namanya tidak terdapat dalam senarai penyeludup yang dimiliki agensi undang-undang Bangladesh.

Teknaf dikenali sebagai hab pengedaran pil 'yaba' atau bahan terlarang berasaskan methamphetamine yang diberi nama jolokan 'ubat gila' dan ia kini semakin popular di Bangladesh.

Menurut pihak berkuasa Bangladesh, lebih 300 orang termasuk 20 pelarian Rohingya telah terbunuh dalam kempen anti narkotik yang dijalankan sejak Mei tahun lalu, dan Parlimen negara itu turut meluluskan hukuman mati buat pesalah.

Pengedar dadah dikatakan mengambil kesempatan terhadap pelarian Rohingya yang dihimpit kemiskinan bagi menyeludup dadah berkenaan dari Myanmar. - AFP