Biar Feichtenbeiner bukti kemampuan berdepan KL City

Aksi pemain Selangor, Muhammad Syahir Bashah (tengah) dikasari pemain Melaka United, Ahmad Haziq Ahmad Puad semasa perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Selasa. - Foto Bernama
Aksi pemain Selangor, Muhammad Syahir Bashah (tengah) dikasari pemain Melaka United, Ahmad Haziq Ahmad Puad semasa perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PENYOKONG Selangor FC mengharapkan supaya pengendali The Red Giants, Michael Feichtenbeiner diberikan peluang terakhir untuk membuktikan kemampuannya pada aksi pusingan kedua Piala FA berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Jumaat.

Pendapat itu disuarakan Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid yang menyifatkan sebarang tindakan ke atas pengendali berusia 61 tahun itu ketika ini dikhuatiri boleh mengganggu fokus para pemain menjelang aksi kalah mati berkenaan.

“Saya harap isu ini tidak terus dimainkan kerana ia akan mengganggu persiapan pasukan menjelang perlawanan menentang KL City FC, Jumaat ini. Sebagai penyokong, saya mengharapkan agar Feichtenbeiner diberikan peluang dengan membuktikan kemampuannya untuk mencatatkan kemenangan.

“Sekiranya tewas, maka lupakanlah sahaja hasrat untuk menyaksikan Selangor FC beraksi di Piala AFC nanti...dia (Feichtenbeiner ) boleh berundur atau direhatkan pihak pengurusan pasukan dan berikan peluang kepada penolong jurulatih Nidzam Jamil pula untuk kendalikan pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Prestasi tidak menentu skuad Merah Kuning itu dalam saingan Liga Super sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan terutamanya dalam kalangan penyokong Selangor FC.

Malah, rentetan kekalahan 1-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Jun, sebelum terikat 1-1 dengan Sabah FC pada 28 Jun dan terbaru kekalahan 0-2 ketika berdepan Melaka United FC menyebabkan timbulnya cadang supaya Feichtenbeiner dipecat.

Sementara itu Mohd Faizal berkata, pihak pengurusan Selangor juga perlu memikul tanggungjawab atas prestasi buruk pasukan ketika ini.

“Bagi saya, pengurus pasukan juga perlu bertanggungjawab kerana apa juga keputusan adalah daripada dia yang menguruskan team. Setakat ini saya tidak nampak pengurusan yang baik seperti sebelum ini,” katanya.