Penyakit kulit: Penduduk digesa jalani rawatan

Boon Chye (dua, kiri) menyampaikan kotak makanan dibawah program bantuan kotak harapan kepada penduduk Kampung MTD.
Boon Chye (dua, kiri) menyampaikan kotak makanan dibawah program bantuan kotak harapan kepada penduduk Kampung MTD.
A
A
A

BATU GAJAH - Penduduk Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang dijangkiti penyakit kulit digesa tampil mendapatkan rawatan segera bagi mengelak penyakit itu terus merebak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penyakit yang berpunca daripada kulat atau fungal itu boleh memberi kesan lebih teruk kepada individu lain terutama yang tidak mempunyai imunisasi kuat.

“Jika mereka tidak menerima rawatan, ianya tidak akan sembuh malah orang lain pula akan terima jangkitan, walaupun kesannya hanya pada kulit, tetapi untuk mereka yang ada masalah kesihatan lain atau imunisasi kurang...kesannya adalah lebih teruk,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung MTD, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keengganan penduduk kampung berkenaan menerima rawatan hingga menyebabkan jangkitan itu merebak.

Jumaat lalu, Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan penduduk kampung itu dijangkiti fungal jenis 'Tinea Imbricata' atau 'Tinea Corporis' yang mudah merebak melalui sentuhan terus dengan orang yang dijangkiti dan sentuhan secara tidak langsung seperti pakaian, tilam dan bantal pesakit.

Antara simptom yang dialami penduduk termasuk kulit menggelupas, kulit berkuping, warna kemerahan dan sekiranya menjangkiti kepala, ia boleh mengakibatkan keguguran.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, rawatan yang dijalani bukanlah perlu melalui prosedur yang menyusahkan, sebaliknya pesakit hanya akan diberi bekalan ubat makan dan ubat sapu.

“Ubat makan biasanya untuk tiga ke empat hari dan ubat sapu pula sekurang-kurangnya untuk dua minggu, tetapi untuk sembuh sepenuhnya ia mungkin akan ambil masa hingga tiga bulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi walaupun penyakit kulit kalangan penduduk orang asli adalah perkara biasa yang mungkin berlaku disebabkan penjagaan kebersihan, tetapi mereka tetap perlu mendapatkan rawatan,” katanya.

Selain klinik kesihatan, kementerian turut menyediakan 244 fasiliti bergerak yang dihubungkan menerusi jalan darat, air dan udara di kawasan-kawasan pedalaman seluruh negara termasuklah ke perkampungan orang asli untuk memberikan perkhidmatan kesihatan secara berkala.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bermula 1 Julai ini, kutipan cukai pintu akan dilaksanakan di Kampung MTD membabitkan 141 unit kediaman, dua rumah kedai dan dua premis kilang pada kadar 8.5 peratus dari nilai tahunan.

Katanya, kutipan ini akan membawa hasil keseluruhan lebih RM13,000 kepada Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan antara perkhidmatan diberikan termasuklah kutipan sampah, memotong rumput, pembersihan longkang dan lampu jalan.