Bekalan minyak masak tumpuan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat keempat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Khamis akan tertumpu kepada laporan kedudukan terkini bekalan makanan khususnya minyak masak bersubsidi satu kilogram (1kg).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan itu akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Ini penting kerana ia dibangkitkan rakyat. Terdapat kedai yang tiada bekalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kios Richiamo Coffee yang pertama daripada 105 cawangannya, dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, mesyuarat itu juga akan berkisar kepada tindakan yang telah diambil dan setakat mana tahap keberkesanannya.

"Ia bagi memastikan harga di pasaran. Tidak melebihi harga siling ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai antara intipati yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ia dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali selain Mustapa.

Pasukan khas tersebut akan bermesyuarat setiap Isnin dan Khamis serta sidang media diadakan sejurus selepas itu.

Sementara itu, mengulas mengenai Richiamo Coffee, Mustapa berbangga dengan pencapaian perkembangan perniagaan tersebut yang dimiliki usahawan Bumiputera.

"Kita difahamkan ia berkembang pesat dan mendapat sambutan hangat kerana harganya yang berpatutan," katanya.