Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan mula operasi 2026

Wan Rosdy (berdiri, kiri) mengiringi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembangunan projek itu di sini pada Rabu.
Wan Rosdy (berdiri, kiri) mengiringi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembangunan projek itu di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa di Gebeng bakal direalisasikan melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan pemaju utama dua projek itu, Gading Group Berhad di sini pada Rabu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar itu diilhamkan akhir tahun 2019 dan telah mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 21 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, projek berimpak tinggi yang melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu itu menelan kos pembangunan RM2 bilion.

"Lapangan terbang antarabangsa itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2026.

"Pelaksanaan dua projek itu mengambil kira faktor hab ekonomi yang lain kerana ia terletak di kawasan Industri Gebeng selain berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy sebelum itu hadir mengiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) itu di sini.

Beliau berkata, projek itu akan dibangunkan secara usahasama melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berkonsepkan pembangunan secara 'Build-Operate-Own' di mana pengoperasian lapangan terbang tersebut akan dikendalikan pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV), Pahang Airport Berhad.

"Apabila beroperasi kelak, projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM7.5 bilion setahun atau RM150 bilion untuk tempoh 20 tahun.

"Kerajaan negeri juga menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran 'Maintenance, Overhaul and Repair' (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

"Komponen projek ini melibatkan 70 peratus MRO dan 30 peratus bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri," katanya.

Sementara itu katanya, pembangunan projek itu bakal membuka kira-kira 20,000 peluang pekerjaan baharu bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 peluang pekerjaan lain melibatkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir melalui pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.